Aset pawagam MBO kini milik GSC | DagangNews Skip to main content

Aset pawagam MBO kini milik GSC

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Golden Screen Cinemas Sdn. Bhd. (GSC) telah lengkap mengambil alih semua aset pawagam MBO daripada pengendali asalnya, MCAT Box Office Sdn Bhd dan Reel Entertainment Holdings Sdn Bhd.

 

Ini merangkumi 18 lokasi yang terdiri daripada 143 pawagam MBO, sekali gus meningkatkan jumlah layar pawagam GSC daripada 36% kepada 44%, menurut makluman syarikat dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif GSC, Koh Mei Lee berkata, menerusi pengambilalihan itu, rangkaian tawaran GSC dapat diperluaskan kepada penonton di segenap peringkat umur.

 

“Pengambilalihan yang lengkap ini tepat pada waktunya memandangkan banyak filem-filem ‘blockbuster’ akan ditayangkan pada suku keempat sehingga memasuki tahun 2022, bermula dengan Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings, dan kami yakin ini secara positif akan mempercepatkan pemulihan kami daripada pandemik,” katanya.

 

Koh Mei Lee
Koh Mei Lee

 

Sebagai rekod, GSC mengumumkan pengambilalihan tersebut pada Mac tahun ini daripada kedua-dua pengendali pawagam MBO yang dalam proses Pembubaran Sukarela Pemiutang.

 

Baca : GSC beli majoriti pawagam MBO

 

Kesemua aset MBO yang bakal diambil alih termasuk USP dan aset pawagam iaitu MX4D, BIG SCREEN, KECIL, PREMIER, Dolby Atmos, dan Cafecito, di mana sebahagian daripadanya akan dijenamakan semula kepada rangkaian pawagam GSC sendiri.

 

Langkah penjenamaan semula itu akan bermula dengan aset MBO di lokasi bandar-bandar utama.

 

Dalam masa sama, syarikat juga menyasarkan untuk membuka semula lokasi yang baru diambil alih itu secara berperingkat, bermula pada November 2021.

 

Sebagai rekod, GSC merupakan anak syarikat penuh PPB Group Berhad dengan pengendalian 590 pawagam di 70 lokasi di seluruh Malaysia dan Vietnam. - DagangNews.com