KUALA LUMPUR 20 Okt - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan Axis REIT akan terus merekodkan pertumbuhan yang lebih baik berdasarkan prestasinya yang kukuh pada suku ketiga.
Ini terutamanya disokong kerja-kerja penambahbaikan aset utamanya di Axis Facility 2@Bukit Raja dan Pusat Pengedaran Bukit Raja 2 apabila siap sepenuhnya.
Menurutnya, kedua-dua fasiliti itu dijangka siap dan bersedia menerima penyewa pada suku pertama dan ketiga dengan kadar sewa yang lebih tinggi.
"Walaupun menghadapi masalah makroekonomi yang berterusan, kami dapati daripada pihak pengurusan bahawa permintaan untuk hartanah perindustrian kekal kukuh manakala pengembalian sewa setakat tahun ini secara keseluruhan adalah positif.
"Bagaimanapun, kami menjangkakan peningkatan berurutan dalam kos pembiayaan disebabkan kitaran naik kadar faedah semasa (49% pembiayaan kadar tetap), meskipun kuantum itu tidak dijangka memberi kesan ketara kepada keuntungannya," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pendapatan hartanah bersih (NPI) Axis REIT pada suku ketiga berakhir 30 September 2022 meningkat 12.54% kepada RM61.49 juta daripada RM54.64 juta didorong pendapatan sewa daripada hartanah yang baru diperoleh.
Bagi tempoh itu, pendapatannya meningkat 16.39% kepada RM71.71 juta, lebih tinggi daripada RM61.61 juta yang dicatatkan setahun lalu, terutama disebabkan pendapatan hartanah yang lebih tinggi.
Dalam tempoh sembilan bulan terkumpul, ia mencatatkan lonjakan 15.97% dalam NPI kepada RM183.12 juta daripada RM157.9 juta setahun lalu, apabila pendapatan meningkat 17.52% kepada RM210.91 juta berbanding RM179.47 juta sebelum ini.
Menurut HLIB, dengan 61 aset hartanah dan 156 penyewa, penghunian portfolio kekal pada 95%, di mana 48 hartanah telah diduduki sepenuhnya manakala penggearan kumpulan meningkat kepada 36% (berbanding 31% pada FY21).
Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Axis REIT pada harga sasaran RM1.99 sesaham. - DagangNews.com