Aset rizab rasmi BNM AS$108.96 bilion setakat Februari 2021 | DagangNews Skip to main content

Aset rizab rasmi BNM AS$108.96 bilion setakat Februari 2021

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 31 Mac - Bank Negara Malaysia (BNM) memberitahu bahawa aset rizab rasmi negara berjumlah AS$108,956.4 juta berdasarkan format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) setakat akhir Februari 2021. 

 

Bank pusat itu berkata, aset mata wang asing lain pula berjumlah AS$561.2 juta pada tempoh sama. 

 

“Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual II, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing apabila matang berjumlah AS$6,241.5 juta. 

 

“Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara. 

 

“Kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak AS$7,765.3 juta manakala jumlah kedudukan hadapan panjang adalah sebanyak AS$535 juta pada akhir bulan Februari 2021, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” jelas BNM dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Katanya, sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak bulan April 2006, data itu tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

 

Unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$2,386.3 juta untuk tempoh 12 bulan akan datang, tambah bank pusat itu.

 

Jelas BNM, satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$389.3 juta. 

 

“Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain. 

 

“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit.

 

“Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir bulan Februari 2021 tetap boleh guna,” kata BNM. - DagangNews.com