Aset wakaf Malaysia dianggar bernilai lebih RM1.3 trilion, namun belum diterokai sepenuhnya | DagangNews Skip to main content

Aset wakaf Malaysia dianggar bernilai lebih RM1.3 trilion, namun belum diterokai sepenuhnya

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Julai - Aset wakaf di Malaysia dianggarkan bernilai lebih RM1.3 trilion, namun belum diterokai sepenuhnya untuk memacu pembangunan sosio ekonomi negara.

 

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, potensi besar wakaf yang belum diterokai itu menyediakan peluang kepada mereka yang ingin melabur dalam instrumen atau produk berkaitan wakaf.

 

"Berdasarkan statistik Yayasan Wakaf Malaysia dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) di Jabatan Perdana Menteri, hanya 13% atau kira-kira 30,000 hektar tanah wakaf di negara ini dimajukan dan secara tradisinya diperuntukkan kepada institusi atau sekolah agama.

 

"Kadar penggunaan yang rendah menunjukkan potensi besar wakaf yang belum diterokai dalam memangkin pembangunan sosioekonomi, selain pelaburan yang berpotensi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Awang Adek berkata, aset wakaf di seluruh dunia dianggarkan bernilai AS$100 bilion hingga AS$1 trilion.

 

Beliau berkata, ia menjadikan kewangan sosial Islam sebagai sumber pembiayaan yang berpotensi untuk menangani jurang pembiayaan kemampanan, yang dianggarkan lebih daripada AS$1.7 trilion setiap tahun.

 

"Menyedari kesan positif Wakaf, SC mula mempromosikan pembangunan wakaf melalui pasaran modal Islam dengan menerbitkan sebuah buku bertajuk “Aset Wakaf: Pembangunan, Tadbir Urus dan Peranan Pasaran Modal Islam”.

 

"Pada tahun yang sama (2014), SC melancarkan Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (atau Rangka Kerja Sukuk SRI).

 

"Rangka kerja ini mengiktiraf dan memasukkan pembangunan Wakaf sebagai projek yang layak untuk terbitan Sukuk SRI," katanya.

 

Bagi melancarkan lagi strategi itu, beliau menjelaskan, SC memperkenalkan Rangka Kerja Dana Bercirikan Wakaf (Rangka Kerja WQ-FF) yang membolehkan pelabur menyalurkan sebahagian atau semua dividen daripada unit amanah dan dana borong kepada projek amal atau kebajikan dalam bentuk wang tunai.

 

"Tahun lalu, angka kerja ini telah diperluaskan untuk memasukkan Amanah Pelaburan Hartanah Islam (REIT) dan ETF Islam, untuk memperdalam dan meluaskan lagi pilihan produk dalam segmen ini.

 

"Kami gembira dengan perkembangan setakat ini. Ia menunjukkan Rangka Kerja WQ-FF telah dapat mempromosikan kerjasama yang lebih besar antara Syarikat Pengurusan Dana Islam (IFMC) dan Majlis Agama Islam Negeri," katanya.

 

Beliau berkata, sejak pelancaran Rangka Kerja WQ-FF, sejumlah enam dana berasaskan wakaf diperkenalkan dengan dana agregat yang diperoleh setakat Disember 2022 berjumlah RM46.7 juta.

 

"Bagi terus menggalakkan penerbit dan pelabur, SC juga mengembangkan Sukuk SRI dan Skim Pemberian Bon pada 2021 untuk meliputi semua sukuk di bawah rangka kerja SRI, termasuk sukuk yang dikeluarkan untuk pembangunan aset wakaf," katanya. - DagangNews.com