KUALA LUMPUR 7 Dis - Asia Digital Engineering (ADE), meraikan pencapaian istimewa sempena sambutan Hari Penerbangan Awam Antarabangsa dengan kejayaannya menyempurnakan pemeriksaan C pesawat ke-100 dalam tempoh 2 tahun setengah, suatu rekod sejak penubuhan syarikat itu pada September 2020.
ADE, anak syarikat milik penuh Capital A Berhad dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat itu diiktiraf sebagai pemeriksaan kategori berat yang melibatkan prosedur penyelenggaraan untuk komponen dan sistem pesawat yang kritikal.
Pemeriksaan C merupakan pemeriksaan penyelenggaraan komprehensif untuk memastikan sesebuah pesawat layak serta selamat untuk melakukan penerbangan.
Ia merupakan satu prosedur yang memerlukan perkakasan yang banyak, pelbagai peralatan ujian dan juga tahap kemahiran khas.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ADE, Mahesh Kumar berkata, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua jurutera, juruteknik dan semua kakitangan ADE menerusi kejayaan yang dicapai dalam tempoh yang singkat.
"Tenaga kerja kami telah menunjukkan kemahiran, profesionalisme dan ketabahan yang bertaraf dunia. Saya berbangga dengan komitmen, dedikasi teguh dan semangat usaha tanpa henti yang tidak mengenal erti putus asa demi mencapai kecemerlangan dalam penyelenggaraan pesawat.
"Ini seterusnya mengukuhkan kedudukan ADE sebagai penyedia perkhidmatan MRO terkemuka di ASEAN, memberikan nilai terbaik pada kos terendah dengan kecekapan tinggi di seluruh rantau Asia Pasifik," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Sementara itu CEO Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, ADE telah berkembang menjadi anak emas Capital A, seperti yang dapat dilihat dalam keputusan suku ketiga baru-baru ini, yang menunjukkan lonjakan keuntungan ketara sebanyak 107% dengan RM165 juta pendapatan.
"Kami percaya ADE boleh menjadi salah satu penyedia perkhidmatan MRO terbaik dunia berdasarkan pengalaman dan pengetahuan luas yang ditimba dari syarikat AirAsia dan juga pelbagai syarikat penerbangan yang lain di rantau ini.
"Ia berpotensi untuk berkembang lebih jauh kerana tawaran produk yang menggunakan rumusan digital dan sains data yang diterapkan ke dalam MRO, menawarkan penyelenggaraan ramalan serta pengurusan alat ganti," katanya.
Sebagai sebahagian daripada strategi pengembangannya, ADE akan memperluaskan jejak operasinya. Hangar baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang dijangka mula beroperasi menjelang suku ketiga 2024, akan meningkatkan kapasiti penyelenggaraan pangkalan dengan ketara, menempatkan sehingga 14 buah pesawat berbadan sempit secara serentak.
Selain itu, ADE juga merancang untuk memulakan operasi penyelenggaraan di negara Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja pada 2024. - DagangNews.com