Asia Media teroka peluang kerjasama dengan Lookhere  | DagangNews Skip to main content

Asia Media teroka peluang kerjasama dengan Lookhere 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Asia Media Group Berhad sedang meneroka potensi kerjasama dengan Lookhere Network Sdn Bhd untuk mengembangkan lagi operasi perniagaan mereka. 

 

Ini selepas kedua-dua pihak telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang turut menggariskan kemungkinan pengambilalihan kepentingan oleh Asia Media di dalam syarikat usaha sama mahupun perkongsian perniagaan Lookhere.

 

“Dengan pemeteraian MoU ini, Asia Media dan Lookhere memuktamadkan kepentingan bersama dalam mencapai kerjasama atau kolaborasi perniagaan atau perjanjian perkongsian bertujuan meneroka peluang perniagaan sehingga dapat memanfaatkan kekuatan dan kelebihan masing-masing dalam media digital dan industri pengiklanan,” jelas Asia Media dalam maklumannya di Bursa Malaysia.

 

Dalam pada itu, MoU berkenaan juga membolehkan kedua-dua pihak menandatangani sebarang perjanjian atau perjanjian sampingan lain selepas rundingan atau perbincangan dimuktamadkan.

 

Memorandum tersebut berkuatkuasa dari tarikh pemeteraian sehinggalah wujudnya sebarang perjanjian berkaitan kerjasama perniagaan antara kedua-dua pihak, atau jika mereka gagal untuk mencapai kata sepakat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh berkenaan.

 

Menurut Asia Media, kumpulan berhasrat untuk mengembangkan perkhidmatan pengiklanan digitalnya sehingga ke segmen pasaran di luar rumah.

 

Sehubungan itu, penerokaan peluang kerjasama dengan Lookhere terutamanya akan melibatkan penawaran pengiklanan digital pada panel papan tanda iklan digital berkualiti HD yang terletak di bangunan kediaman.

 

“Pihak penasihat akan dilantik sekiranya terma dan syarat perjanjian pembelian saham yang muktamad melibatkan cadangan kerjasama diperlukan berdasarkan ketentuan peraturan dan undang-undang yang ada meliputi, antara lain, Keperluan Penyenaraian Papan Utama Bursa Securities,” tambah kumpulan. - DagangNews.com