ASNB laksana polisi nombor telefon mudah alih tunggal untuk semua pemegang akaun | DagangNews Skip to main content

ASNB laksana polisi nombor telefon mudah alih tunggal untuk semua pemegang akaun

 

 


KUALA LUMPUR 4 Okt. - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), melaksanakan polisi nombor telefon mudah alih tunggal ke atas semua pemegang akaun ASNB dalam inisiatif terkini untuk memberi perlindungan data peribadi dan privasi yang lebih baik. 

 

Polisi ini telah mula dilaksanakan pada 25 September 2021 sebagai salah satu usaha penambahbaikan utama ke atas portal pelaburan dalam talian dan aplikasi mudah alih myASNB. Penambahbaikan ini merupakan peningkatan utama pada antara muka dan pengalaman pengguna. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, sebelum ini, ASNB membenarkan perkongsian nombor telefon untuk akaun-akaun yang berbeza bagi memudahkan para pemegang unit mengurus akaun milik ahli keluarga, khususnya ibu bapa yang berusia dan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun. 

 

Katanya, pada ketika itu, telefon mudah alih  digunakan terutama bagi tujuan komunikasi dan bukan untuk mengesahkan sebarang transaksi.

 

“Bagaimanapun, dengan tersedianya pelbagai kemudahan transaksi dalam talian di portal dan aplikasi myASNB, nombor telefon mudah alih kini digunakan untuk tujuan pengenalan dan juga pengesahan. 

 

"Polisi nombor tunggal ini akan meningkatkan lagi keselamatan untuk semua pengguna,” katanya dalam kenyataan.

 

Menurutnya, pihak ASNB sedia maklum bahawa polisi ini akan menimbulkan sedikit kesulitan kepada para pemegang unit berbanding pendekatan yang lebih fleksibel sebelum ini. 

 

"Tetapi, kami yakin para pemegang unit sedar bahawa ancaman terhadap data peribadi dan privasi semakin meningkat sejak kebelakangan ini, dan pentingnya ASNB mengambil langkah pencegahan yang bersesuaian untuk melindungi pelaburan mereka dengan kami," tambahnya.

 
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, para pemegang unit ASNB yang mempunyai rekod duplikasi nombor telefon dalam pelbagai akaun telah dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel untuk mengunjungi cawangan dan ejen ASNB terdekat bagi tujuan pengesahan nombor telefon. 

 

Seterusnya, ASNB akan mengaktifkan peraturan satu nombor satu akaun dan membatalkan penggunaan nombor telefon yang sama ke atas akaun-akaun ASNB yang lain. - DagangNews.com