ASNB umum agihan pendapatan 5 sen seunit untuk ASB, manfaatkan 10.4 juta pemegang unit | DagangNews Skip to main content

ASNB umum agihan pendapatan 5 sen seunit untuk ASB, manfaatkan 10.4 juta pemegang unit

 

 

 

KUALA LUMPUR 23 Dis - Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit untuk dana Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 yang akan memanfaatkan 10.4 juta pemegang unit.

 

Pembayaran pengagihan sebanyak RM8.9 bilion itu turut merangkumi pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus sebanyak 0.75 sen seunit.

 

Ini menjadikan jumlah pengagihan pendapatan terkumpul dan bonus ASB yang telah diagihkan sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1990 kesemuanya sebanyak RM168.5 bilion. 

 

ASB mencatatkan prestasi positif di sebalik keadaan pasaran kewangan yang tidak menentu, serta kemunculan varian baharu COVID-19 dan peningkatan kes baharu sepanjang tahun yang memperlahankan pemulihan ekonomi global.

 

 

pnb
Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria (kiri) dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn ketika mengumumkan prestasi ASB hari ini.

 

 

 

FBM KLCI merekodkan prestasi -7.80 % tahun ini setakat 22 Disember 2021. Indeks utama global pula menunjukkan prestasi lebih baik yang mana S&P 500 dan FTSE 100 masing-masing mencatat pulangan sebanyak 26.3% dan 11.2%.

 

Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, usaha berterusan dalam strategi kepelbagaian dan pengukuhan portfolio PNB telah membuahkan hasil positif.
 

Katanya, kadar pengagihan pendapatan sebanyak 5 sen seunit ini adalah 315 mata asas lebih tinggi berbanding Deposit Tetap 12-bulan yang kadar semasanya ialah 1.85%.

 

"Prestasi pelaburan ekuiti global yang lebih kukuh telah berjaya mengurangkan kesan pasaran domestik yang mencabar. 

 

"Ini menunjukkan betapa pentingnya strategi kepelbagaian dalam mengurus risiko portfolio untuk menjana pulangan yang mampan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Peruntukan pelaburan antarabangsa ASB meningkat daripada 5.9% pada 2020 kepada 8.2% tahun ini. Ekuiti awam antarabangsa menyumbang sebanyak 30.7% kepada pendapatan kasar pada 2021 berbanding 24.2% tahun lepas.

 

Jumlah akaun ASB bertambah sebanyak hampir 200,000 kepada 10.4 juta, manakala unit dalam edaran meningkat sebanyak 7.4 bilion atau 4.3% kepada 181.2 bilion unit.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, walaupun dalam persekitaran yang mencabar, didapati bilangan rakyat Malaysia yang melabur dengan PNB terus meningkat.

 

"Kami amat menghargai kepercayaan berterusan yang diberikan oleh pemegang unit kami dan akan berusaha  memenuhi mandat PNB untuk terus menjana pulangan yang mampan,” katanya.

 

PNB telah menunjukkan daya tahannya dalam mengharungi ketidaktentuan 2021, mencatatkan prestasi kewangan yang membanggakan. 

 

Untuk 11 bulan pertama tahun kewangan, jumlah Aset di Bawah Pengurusan (AUM) PNB telah meningkat sebanyak 4.9% kepada RM338.4 bilion, mencerminkan kepercayaan berterusan oleh pemegang unitnya. 

 

Dalam usaha memperkukuh strategi Focus 4 pada tahun ini, PNB telah mencapai kemajuan yang ketara dalam tiga bidang tumpuan iaitu mencipta nilai dalam prestasi portfolio domestiknya, meneruskan usaha kepelbagaian ke dalam pasaran global menerusi kelas aset yang berbeza, dan mempercepatkan peningkatan perkhidmatan melalui pendigitalan. - DagangNews.com