ASP sarung tangan Kossan dijangka cecah AS$95 setiap 1,000 unit | DagangNews Skip to main content

ASP sarung tangan Kossan dijangka cecah AS$95 setiap 1,000 unit

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 April - Firma penyelidikan, CGS-CIMB Research mengunjurkan purata harga jualan (ASP) sarung tangan keluaran Kossan Rubber Industries Berhad (Kossan) mampu mencecah antara AS$90 hingga AS$95 pada hujung suku kedua 2021 (2Q21). 

 

“Kossan menjangkakan ASP kekal meningkat, walaupun pada kadar perlahan (pertumbuhan 12.5% hingga 18.5% suku ke suku) sehingga sekurang-kurangnya penghujung 2Q21. Ini susulan ASP semasa kira-kira 10% hingga 15% lebih rendah daripada purata sektor, walaupun melonjak pada 1Q21. 

 

“Dalam pada itu, Kossan juga menekankan kemungkinan penurunan ASP pada separuh kedua 2021 (2H21), tetapi dijangka berpanjangan sehingga 4Q21. 

 

“Sebelum ini, kami menjangkakan ASP akan menyusut 6% setiap bulan bagi tempoh April hingga Disember 2021, selepas mencanak pada kadar AS$85 setiap 1,000 unit bagi Mac 2021,” jelas penganalisis di CGS-CIMB, Walter Aw.

 

Aw berkata, Kossan dalam sebuah taklimat dengan penganalisis semalam mendedahkan bahawa jumlah jualannya melonjak 3% hingga 5% suku ke suku sementara ASP bagi 1Q21 menokok 50% hingga 60%, dalam lingkungan AS$80 hingga AS$85 setiap 1,000 unit.

 

“Kami difahamkan Kossan terus menyaksikan permintaan kukuh bagi sarung tangan, memandangkan syarikat itu membayangkan bahawa semua kapasitinya telah penuh sehingga sekurang-kurangnya penghujung 2021,” ujar Aw lanjut.

 

Dari segi rancangan pengembangan kapasiti, Kossan menyasarkan pertumbuhan sebanyak 20.3% atau penambahan 6.5 bilion unit setiap tahun kepada 38.5 bilion.

 

Aw mengekalkan saranan ‘tambah’ saham Kossan, namun harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM5.00.

 

Setakat 11.11 pagi, nilai saham Kossan meningkat 20 sen kepada RM4.13. - DagangNews.com