KUALA LUMPUR 17 Julai - Aspen Glove Sdn Bhd telah menghantar petisyen kepada Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk membubarkan perniagaannya pada 14 Julai lalu kerana tidak dapat membayar hutang.
Pembubaran ini dilakukan susulan cadangan Aspen Glove untuk menjual tanah dan kilang di Seksyen 11, Bandar Lunas di Kulim pada April lalu menemui jalan buntu.
Pada Disember tahun lalu, anak syarikat Aspen Group itu bercadang menjual tanah dan aset bangunan berkenaan dengan pertimbangan harga RM200 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Saham Singapura (SGX) hari ini, Aspen Group berkata petisyen pembubaran perniagaan tersebut adalah demi kepentingan terbaik Aspen Glove dan pemiutangnya.
Jelasnya, langkah tersebut memastikan hal ehwal syarikat itu teratur di bawah kawalan mahkamah yang dilantik oleh pemiutang dan ia merupakan strategi paling tepat pada waktunya dan berkesan dari segi kos untuk mencairkan Aspen Glove.
"Memandangkan Aspen Glove gagal dalam cubaan untuk melupuskan kepentingan bagi tanah pajakan dan bangunan kilang, tuntutan undang-undang dihadapinya semakin bertambah dan kedudukan kewangan semasa syarikat, pengarah dan pemegang saham Aspen Glove memutuskan bahawa syarikat itu tidak dapat membayar hutangnya berdasarkan liabiti sebenar manakala aliran tunainya tidak berkeupayaan," katanya..
Pada asas pro forma, jika pembubaran syarikat berkuat kuasa pada 1 Januari 2021, kerugian sesaham Aspen Glove adalah 16.62 sesaham.
Selepas pembubaran, kerugian sesaham syarikat itu akan berada pada 13.63 sen bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022.
Aspen Glove telah ditubuhkan ketika pandemik pada Ogos 2020 untuk Aspen Group mempelbagaikan skop perniagaan namun pada Jun 2022, kumpulan itu berkata Aspen Glove akan mengurangkan operasi disebabkan ketidaktentuan yang semakin meningkat dalam pasaran sarung tangan perubatan. - DagangNews.com