Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 dijangka tingkatkan KDNK negara sebanyak RM13 bilion - PM | DagangNews Skip to main content

Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 dijangka tingkatkan KDNK negara sebanyak RM13 bilion - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Pelaksanaan Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 di bawah Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022-2040 dijangka dapat meningkatkan purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM13 bilion setahun dan mewujudkan lebih 207,000 peluang pekerjaan baharu.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Aspirasi Rendah Karbon 2040 mengandungi sembilan sasaran terpilih untuk dicapai pada tahun 2040 termasuk perkongsian mod pengangkutan awam bandar sebanyak 50%, penggunaan kenderaan elektrik (EV) sebanyak 38% dan standard bahan api alternatif kenderaan berat dengan campuran bahan api B30.

 

Beliau berkata, penggunaan gas asli cecair atau LNG sebagai bahan api alternatif pengangkutan marin sebanyak 25% dan penjimatan kecekapan tenaga oleh industri dan komersial sebanyak 11% serta kediaman sebanyak 10%.

 

Perdana Menteri percaya inisiatif itu dapat membantu mencapai aspirasi negara pada 2050 bagi menghadapi trend yang berlaku dalam peralihan tenaga.

 

“Dasar Tenaga Negara 2022-2040 yang dilancarkan hari ini menetapkan sasaran khusus bagi sektor tenaga, iaitu Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040.

 

“Melalui inisiatif ini, sektor tenaga negara bakal membuka lembaran baharu selari di peringkat dunia yang menyaksikan munculnya sektor-sektor baharu seperti mobiliti rendah karbon melalui penggunaan EV, serta penjanaan dan penyimpanan sumber tenaga baharu seperti hidrogen dan tenaga berasaskan bio,” katanya pada majlis pelancaran Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022-2040 hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Tenaga Negara bagi menerajui hala tuju peringkat tertinggi.

 

Beliau berkata, hal itu adalah untuk membuat keputusan strategik berkaitan sektor tenaga memandangkan strategi dan pelan tindakan DTN merentasi pelbagai sektor dan pihak berkepentingan.

 

Perdana Menteri akan mempengerusikan Majlis Tenaga Negara itu bagi memastikan inisiatif DTN dilaksanakan secara berkesan oleh kementerian dan agensi bertanggungjawab berdasarkan akauntabiliti dan peranan masing-masing.

 

“DTN merupakan dokumen yang dikemas kini setiap tiga tahun dengan semakan dan pertimbangan dilakukan MTN.

 

“Ini selari dengan kemajuan teknologi, tahap pencapaian sosioekonomi negara dan keseimbangan trilema tenaga semasa,” katanya. - DagangNews.com