Astro dijangka berdepan tekanan margin keuntungan pada FY23 | DagangNews Skip to main content

Astro dijangka berdepan tekanan margin keuntungan pada FY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Jun - Kenanga Research menjangkakan Astro Malaysia Holdings Berhad berdepan kesukaran pada FY23 akibat margin keuntungan semakin mengecil. 

 

Firma itu berkata, jumlah acara sukan berprofil tinggi seperti Piala Dunia dan Sukan Komanwel dijangka meningkatkan kos pelesenan kepada kumpulan itu pada tahun hadapan.

 

"Penurunan jumlah kedai makanan dan minuman (F&B) yang kebiasannya melesenkan acara itu daripada Astro dan pada masa sama kumpulan itu bergelut untuk mengekalkan margin keuntungan sekiranya gagal menyerapkan kos kepada pelanggan.

 

"Mereka juga berdepan saingan daripada saluran haram penjualan kotak televisyen selain perisian cetak rompak memberi kesan kepada jumlah pelanggan kumpulan.

 

"Secara keseluruhan, mengikut panduan kumpulan, kami telah mengemas kini anggaran kos kandungan kepada 35% daripada jumlah hasil," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Astro catat PATAMI ternormal RM119 juta bagi suku tahun pertama berakhir 2023

 

Terdahulu, untung bersih Astro bagi suku pertama berakhir 30 April, 2022 menurun kepada RM100.02 juta daripada RM141.25 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu.

 

Pendapatan kumpulan juga susut kepada RM962.09 juta daripada RM1.06 bilion sebelum itu berpunca daripada penurunan hasil langganan dan jualan barangan, diimbangi peningkatan hasil dalam pengiklanan.

 

Firma itu menyemak turun unjuran pendapatan kumpulan untuk FY23E dan FY24E sebanyak 27% dan 8%.

 

Katanya, walaupun mereka  masih positif terhadap pertumbuhan melalui perkhidmatan atas permintaan dan penstriman, jangkaan peningkatan kos akan memberi impak besar kepada pendapatan FY22E.

 

"Kami telah melaraskan pertumbuhan pelanggan keseluruhan kami untuk FY22 menurun sedikit daripada 20% kepada 16%, ditunjukkan dalam kedua-dua anggaran FY22 dan FY23," katanya.

 

Firma itu menyemak turun penarafan kepada 'market perform' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM1.00 berbanding RM1.29. - DagangNews.com