Astro dijangka tambah lagi platform OTT - Firma | DagangNews Skip to main content

Astro dijangka tambah lagi platform OTT - Firma

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 18 Mei - Astro Malaysia Holdings Bhd. bercadang untuk untuk menambah lagi platform over-the-top (OTT) dalam tahun ini dan tahun hadapan, menurut nota kajian AmInvestment Bank Bhd.

 

Ketika ini, katanya, kumpulan itu memiliki 4 platform OTT iaitu Astro GO, iQIYI, HBO GO, dan terbaharu, Disney+ Hotstar.

 

"Malah, kami melihat pemilihan Astro sebagai pengedar rasmi Disnesy+ Hotstar secara positif akan membawa banyak filem Hollywood yang terbaik dan pernah memenangi anugerah dari Disney, Pixar, Marvel, Star Wars dan National Geographic Society serta filem-filem yang ditayangkan di pawagam Malaysia dan popular," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada 4 Mei lalu, Pengurus Besar, Walt Disney Company Taiwan, Hong Kong dan Asia Tenggara, David Shin berkata, pelancaran Disney+ Hotstar di Malaysia menerusi kerjasama dengan Astro, adalah pencapaian bermakna ketika syarikat terus melebarkan sayap di Asia Tenggara.

 

Baca : Kedatangan Disney+ Hotstar, siapa yang untung?

 


AmInvestment menyemak naik penarafan Astro kepada 'beli' berbanding 'pegang' sebelum ini dengan nilai saksama lebih tinggi pada RM1.83 sesaham. 

 

Ini berikutan platform OTT yang lebih menarik berbanding penawaran TV berbayarnya.

 

Selain itu, menurutnya, Astro turut merancang untuk melancarkan platform penstrimannya dikenali sebagai Sooka pada suku kedua tahun kewangan 2022, dengan penawaran kandungan yang lebih vernakular dan siaran langsung sukan premium yang menyasarkan golongan milenial. 

 

"Kami positif dengan perkembangan ini memandangkan Sooka membawakan kandungan skrin kecil untuk mereka yang  tidak suka langganan TV berbayar. 

 

"Namun, ini masih mampu memenuhi segmen pasaran dengan mengambil kira kekuatan Astro dalam kandungan vernakular yang menyumbang 64% kepada jumlah penonton TV bagi tahun kewangan 2021 manakala 36% terdiri daripada kandungan antarabangsa dan Bahasa Inggeris," katanya. 

 

AmInvestment menyifatkan premium 3% bagi harga saham mencerminkan penafaran empat bintang bagi portfolio Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) seperti yang dinilai oleh firma itu.

 

Menurut firma itu, bagi tahun kewangan 2022, Astro akan meneruskan strateginya dengan memberi fokus kepada kediaman, individu dan perusahaan dengan lebih banyak tumpuan kepada pilihan individu terutamanya platform OTT di samping memacu segmen membeli-belah kumpulan.

 

Bagi tahun kewangan 2021, Astro Go Shop merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM17 juta berbanding kerugian sebelum cukai berjumlah RM16 juta bagi tahun kewangan 2020 sejajar dengan peningkatan 26% tahun ke tahun dari segi perolehan dan pelanggan berdaftar juga meningkat 30% mencecah 2.8 juta.

 

Ini disebabkan jumlah penonton yang tinggi apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) menyaksikan lebih ramai pelanggan beralih kepada membeli-belah dalam talian. 

 

Secara keseluruhan, Astro Go Shop menyumbang 11% daripada perolehan kumpulan bagi tahun kewangan 2021. - DagangNews.com