KUALA LUMPUR 26 Okt - Sikap berhati-hati pengguna untuk berbelanja dijangka menjejaskan segmen beli-belah dan langganan Astro Malaysia Holdings Bhd. berikutan ketidaktentuan ekonomi global akan terus mempengaruhi permintaan.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research juga mendapati walaupun Piala Dunia FIFA berlangsung pada November ini, yang sepatutnya meningkat jumlah langganan televisyen, tetapi kos kandungan yang lebih tinggi akan menekan margin keuntungan.
Dengan mengambil kira ketidaktentuan itu, ia mengurangkan unjuran bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2023 (FY23) sebanyak 8.1% diikuti FY24 (-13.5%) dan FY25 (-11.5%).
Menurut firma itu, hasil langganan Astro terus merekodkan penurunan di sebalik pembukaan semula aktiviti ekonomi dan pasaran pekerjaan yang lebih kukuh apabila keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) teras pada separuh pertama susut 11.5% kepada RM231.1 juta disebabkan perbelanjaan pengiklanan (adex) dan langganan yang lebih rendah.
"Apabila digabungkan dengan adex yang lebih rendah daripada jangkaan, penurunan berterusan segmen beli-belah di rumah Astro serta pembayaran dividen yang mengecewakan pada suku kedua FY23, ini boleh menjadi punca kepada penjualan sahamnya baru-baru ini.
"Namun begitu, selain Piala Dunia, adex akan menyaksikan peningkatan pada suku keempat FY23 kerana pengiklan mahu memanfaatkan musim cuti perayaan (Deepavali pada Oktober diikuti Krismas pada Disember ini)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada suku kedua berakhir 31 Julai 2022, untung bersih Astro meningkat 7.9% kepada RM98.47 juta berbanding RM87.13 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan susut 13.1% kepada RM921.12 juta daripada RM1.06 bilion.
Bagi tempoh itu, segmen televisyen mencatat pendapatan lebih rendah sebanyak RM836.3 juta berbanding RM922.2 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya ekoran penurunan hasil langganan, pengiklanan dan jualan hak program.
Segmen beli-belah di rumah merosot sehingga 55.3% kepada RM47.1 juta berbanding RM105.3 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya terutamanya disebabkan sentimen pengguna yang lemah, perbelanjaan yang berhati-hati dan pelanggan mulai kembali ke pusat beli-belah.
Bagaimanapun, HLIB optimis dengan inisiatif Astro untuk beralih daripada pengendali televisyen kabel tradisional kepada agregator perkhidmatan langganan video-on-demand (SVOD) dan penyedia perkhidmatan internet (ISP).
Katanya, apabila kegawatan ekonomi semakin mereda, inisiatif semasa kumpulan boleh membuahkan hasil, menunjukkan titik perubahan dan memberikan pemulihan kepada pendapatan Astro.
"Kami berpendapat apabila Astro terus menambah baik perkhidmatannya sebagai ISP yang boleh dipercayai, ia akan menjadi pesaing yang kuat dalam ruang ini kerana ia juga mempunyai kandungan hiburan yang boleh ditambah, memberikannya kelebihan dengan lebih banyak nilai berbanding ISP biasa.
"Selain itu, kumpulan itu juga akan melihat melangkaui perkhidmatan SVOD pada masa hadapan, kepada perkhidmatan seperti muzik dan kecergasan kerana Astro berusaha untuk mencipta semula dirinya daripada pengendali TV kabel legasi kepada ekosistem hiburan semua-dalam-satu untuk kediaman," jelasnya.
Firma itu berpendapat Astro memiliki kelebihan dari segi kandungan dan pakej jalur lebarnya, dan pertikaian dengan pesaing seperti Telekom Malaysia Bhd. yang dikatakan mempunyai kelebihan berbanding Astro melalui pakej jalur lebar dan kandungan (Unifi TV) tidak lagi sesuai.
"Ini kerana Astro juga menyediakan kemudahan satu bil sekarang, dan boleh dikatakan kandungan Astro memberikan lebih nilai," tambahnya.
Optimis dengan inisiatif yang diambil Astro itu, HLIB mengekalkan saranan 'beli' terhadap Astro tetapi menyemak turun harga sasarannya kepada RM1.15 daripada RM1.28 sesaham sebelum ini.
Setakat 10.04 pagi, harga sahamnya menokok 1 sen atau 1.54% kepada 66 sen dengan 514,300 saham diniagakan. - DagangNews.com