Astro mungkin edar HBO Max di Malaysia? | DagangNews Skip to main content

Astro mungkin edar HBO Max di Malaysia?

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 8 Jun - Selepas Disney+ Hotstar, Astro Malaysia Holdings Bhd. dijangka menjadi pengedar HBO Max bagi pasaran Malaysia setelah perkhidmatan langganan video berdasarkan permintaan (SVOD) dilancarkan.

 

Ini berikutan WarnerMedia pada 4 Jun lalu mengumumkan pelantikan Amit Malhotra sebagai pengarah urusan HBO Max bagi Asia Tenggara dan India, yang mana sebelum ini, menyatakan hasrat untuk membawa HBO Max ke rantau ini termasuk Malaysia dalam tempoh terdekat.

 

Sebelum menyertai HBO Max, Amit pernah bersama The Walt Disney Co yang berjaya membentuk kerjasama dengan penyedia telekomunikasi tempatan dan pengedar program video pelbagai saluran (MVPD) seperti Astro.

 

Secara dasarnya, menerusi kerjasama dengan Astro, WarnerMedia’s Home Box Office Inc telah menawarkan HBO Go kepada penonton Malaysia sejak Mei 2019. 

 

Namun, HBO Max pula adalah lebih meluas dengan mempunyai rangkaian jenama di bawah WarnerMedia seperti Warner Bros. Pictures, New Line Cinema, Cartoon Network, CNN, TNT, TBS, Turner Classic Movies dan DC Comics.

 

"Jadi, terdapat kemungkinan HBO Max akan diedarkan oleh Astro untuk pasaran Malaysia," menurut CGS-CIMB dalam nota kajian hari ini.

 

Tambahnya, Astro kini sedang melalui fasa transformasi paling drastik sejak memulakan operasi pada Oktober 1996.

 

Di bawah proses itu, Astro akan mengehadkan tumpuannya terhadap penyiaran satelit direct to home (DTH) kepada program secara langsung di samping meningkatkan kedudukannya sebagai pusat sehenti bagi SVOD di Malaysia. 

 

Bagaimanapun, CGS-CIMB percaya WarnerMedia mungkin beralih kepada Media Prima Bhd. sekiranya ia menyasarkan untuk menyiarkan lebih banyak kandungan tempatan dalam HBO Max.

 

HBO sebelum ini telah menubuhkan HBO Asia Originals yang menerbitkan kandungan lebih kepada cita rasa Asia. 

 

"Oleh itu, sebarang perjanjian jualan kandungan dan/atau penerbitan bersama dengan WarnerMedia akan meningkatkan lagi kedudukan segmen penghasilan kandungan Media Prima sebagai peneraju pendapatan," katanya.

 

Menurutnya, pada suku pertama 2021, untung bersih bagi segmen ini melonjak 327.4% tahun ke tahun kepada RM6.5 juta disokong oleh jualan kandungan kepada pelbagai perkhidmatan SVOD.

 

"Keuntungan ini sudah cukup untuk mengimbangi kerugian yang dialami Media Prima menerusi segmen pengiklanan papan iklan dan penerbitan berita," jelasnya.

 

Dalam pada itu, CGS-CIMB berpendapat, pencarian studio antarabangsa untuk penguasaan penstriman global memberi kekuatan kepada syarikat media tempatan untuk memerangi masalah cetak rompak yang sudah lama berlaku dalam industri. 

 

"Ini kerana mereka mempunyai kandungan yang menarik untuk memenuhi selera demografi kosmopolitan di negara ini, yang mana mempunyai kekuatan dari segi kuasa beli," tambahnya lagi.

 

Firma itu mengulangi saranan 'overweight' bagi sektor media dengan pilihan utama, Astro dan Media Prima. - DagangNews.com