ATA IMS umum pelantikan Dharma Rajan sebagai COO baharu kumpulan | DagangNews Skip to main content

ATA IMS umum pelantikan Dharma Rajan sebagai COO baharu kumpulan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mei - ATA IMS Berhad hari ini mengumumkan pelantikan Dharma Rajan Nadarajah sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) baharu kumpulan itu.

 

Dharma yang memiliki pengalaman sebagai pemimpin perniagaan dalam industri pembuatan elektronik memulakan kerjaya bersama kumpulan pada 9 Mei 2022.

 

Beliau bertanggungjawab untuk memantau operasi kumpulan, membina pasukan berprestasi tinggi dan menguatkan asas pendapatan kumpulan selain mengembangkan inisiatif alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG).

 

"ATA yakin dengan pengetahuan serta pengalaman Dharma akan mengukuhkan kedudukan kumpulan selaku penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik di Malaysia dan rantau ini," kata ATA IMS dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pelantikan itu dibuat selepas menerima ATA menerima penilaian positif daripada empat firma akaun terbesar yang mengesahkan aktiviti kumpulan itu selaras dengan prinsip hak asasi manusia, undang-undang dan amalan industri terbaik dan piawaian untuk mengurus impak dalam bidang operasinya.

 

Terdahulu, Dharma merupakan Naib Presiden Eksekutif Venture Corporation Ltd yang bertanggungjawab menguruskan operasi global, pengurusan pelanggan, perkhidmatan rekaan dan jualan.

 

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) dan merupakan penerima Pingat Emas Institusi Kejuruteraan daripada Nanyang Technological University, Singapura.

 

Baru-baru ini, beliau menerima sijil Blockchain Technologies daripada Sloan School of Management, Massachusetts Institute of Technology (MIT). - DagangNews.com