Atlantis bawa pulang RM10,000 selepas ungguli kategori Dota 2 Siri Terbuka MEL 2022 | DagangNews Skip to main content

Atlantis bawa pulang RM10,000 selepas ungguli kategori Dota 2 Siri Terbuka MEL 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Dis - Pasukan professional Dota 2 tempatan, Team Atlantis dinobatkan sebagai juara kategori Dota 2 Liga Esukan Malaysia 2022 (MEL 2022) Siri Terbuka anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Esports Integrated (ESI). 

 

Penganjur dalam satu kenyataan berkata, Atlantis sebelum ini telah berjaya menempa nama sebagai juara kategori Dota 2 Lelaki di Commonwealth Esports Championships 2022. 

 

Menurutnya, selain itu, pasukan Todak telah menjuarai kategori Valorant MEL22 Open Series, manakala Faiq Iskandar (Halowake), telah berjaya menjadi juara kategori FIFA MEL22 Open Series.

 

"Setiap juara berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 termasuk piala pusingan dan pingat kepada ahli pasukan. 

 

"Jumlah hadiah terkumpul bagi MEL22 Regular Series dan MEL22 Open Series adalah sebanyak RM299,500," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, MEL22 Regular Series terbahagi kepada dua peringkat, Liga Negeri (12 hingga 29 September 2022) dan Peringkat Kebangsaan (1 Oktober hingga 2 November 2022) mempertandingkan judul atau kategori permainan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), PlayerUnknown’s Battleground Mobile (PUBGM) dan Garena Free Fire (FF).

 

Selain itu, MEL22 Open Series (9 November hingga 4 Disember 2022) pula mempertandingkan kategori Dota 2, FIFA23 dan Valorant. Jumlah pendaftaran bagi MEL22 adalah sebanyak lebih 12,000 peserta yang kebanyakannya golongan belia.

 

 

esukan

 

 

esukan

 

 

todak

 

 

Katanya, MEL22 Open Series akan diteruskan dengan satu lagi edisi menampilkan sebuah judul permainan terbitan syarikat tempatan (Ammobox Studios Sdn. Bhd) iaitu EXIMIUS: Seize the Frontline pada 9 hingga 15 Januari 2023 dan siri khas bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU), Para MEL22 pada bulan Februari 2023 menampilkan judul MLBB. 

 

"Selepas tamatnya MEL22, pemenang-pemenang MEL22 akan mendapat slot automatik di Kejohanan Esukan Malaysia 2022/2023 (Malaysia Esports Championship 2022/2023 atau MEC 2022/2023) yang bakal berlangsung dalam jangka masa terdekat," katanya.

 

Tambahnya, untuk pemenang Para MEL22, mereka dijangka bakal mewakili Malaysia bagi kategori MLBB di sukan temasya OKU, Sukan ASEAN Para 2022 yang bakal berlangsung di Kemboja pada bulan Mei dan Jun 2023.

 

MEL22 dianjurkan oleh KBS menerusi ESI dengan kerjasama daripada 16 persatuan sukan elektronik negeri dan Wilayah Persekutuan, selaras dengan program pembangunan di bawah roadmap ESI dan Pelan Strategik Pembangunan Sukan Elektronik KBS 2020-2025. - DagangNews.com