Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Feb. - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diberi kuasa dalam tindakan penguatkuasaan kerajaan dalam memerangi COVID-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya sebentar tadi berkata, arahan telah dikeluarkan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk menurunkan kuasa polis kepada ATM.
"Ini membolehkan pihak ATM membuat penangkapan, pemeriksaan dan rampasan semasa membantu agensi-agensi lain melakukan tugas pencegahan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan operasi pencegahan COVID-19," katanya.
Perdana Menteri turut mengarahkan anggota RELA yang berjumlah lebih 3 juta orang di seluruh negara untuk membantu tugasan penguatkuasaan SOP di premis-premis perniagaan dan tempat awam.
"Selain itu, kerajaan juga akan melaksanakan Program Pemerkasaan Komuniti yang akan melibatkan pemimpin masyarakat setempat dalam kempen pencegahan COVID-19 di peringkat komuniti masing-masing," katanya.
Beliau turut memberitahu, kerajaan menggunakan kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk membuat pengambilalihan sementara Kem-kem PLKN dan Kem-kem Wawasan yang digunakan sebagai Pusat Tahanan dan Kuarantin Sementara PATI dan penjara sementara.
"Ini adalah sebahagian daripada tindakan serta-merta kerajaan untuk mengurangkan kesesakan di depoh-depoh tahanan Jabatan Imigresen Malaysia dan penjara yang secara langsung dapat mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan tahanan," katanya.
Sebanyak 16 kem PLKN dan Kem Wawasan telah diambilalih secara sementara untuk tujuan ini.
Perdana Menteri berkata, tindakan ini juga mampu mempertingkatkan penguatkuasaan kerajaan dalam mencegah kemasukan PATI ke negara ini yang juga menjadi antara punca penularan COVID-19 di Malaysia. - DagangNews.com