ATM jadi angkatan masa hadapan, sedia tangani senario keselamatan semasa dan akan datang | DagangNews Skip to main content

ATM jadi angkatan masa hadapan, sedia tangani senario keselamatan semasa dan akan datang

ATM digembleng sebagai angkatan masa hadapan yang terlatih dan serba moden.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 23 Okt - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu menjadi sebuah ketumbukan masa hadapan yang bersepadu agar bersedia menangani senario keselamatan semasa dan akan datang.

 

Ini juga sepertimana ditetapkan dalam Kertas Putih Pertahanan supaya negara memiliki sebuah angkatan masa hadapan yang bersepadu menjelang tahun 2030,

 

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman berkata, perkara itu relevan dengan senario negara berhadapan dengan ancaman bukan tradisional yang hibrid.

 

Menurut beliau, ATM sebagai angkatan masa hadapan mempunyai kemampuan cegah rintang berpadu dalam mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara.

 

Tabik
Mohamad memberi tabik hormat semasa memeriksa perbarisan statik.

 

"Ancaman ini antaranya keganasan, pemerdagangan manusia, ancaman siber, kegiatan jenayah antarabangsa dan pencemaran alam yang memberi impak kepada perubahan iklim serta ancaman keselamatan kesihatan yang tidak terjangka.

 

“Sehubungan itu, ATM telah melancarkan dokumen strategik tertinggi iaitu Strategi Ketenteraan Negara 2.0 pada 26 September 2022 yang lalu,” ujarnya ketika menyampaikan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera ke-22 di Kem Perdana Sungai Besi.

 

Mohammad dilantik sebagai Panglima ATM pada 6 September lepas.

 

Perbarisan tempur statik itu melibatkan seramai 40 pegawai dan 1,159 anggota yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (23 RAMD), Lefetenan Kolonel Mohd Azroi Ariffin Shah.

 

ATM

 

Atm

 

Sementara itu dalam perintah ulungnya, Mohamad menggariskan 4 falsafah pemerintahan yang akan diguna sepanjang kepimpinan beliau bagi memiliki sebuah angkatan masa hadapan.

 

Antaranya memperkasakan keupayaan dan kesiagaan menuju angkatan masa hadapan serta melaksanakan transformasi operasi, latihan dan doktrin.

 

Turut ditekankan ialah menggilap modal insan angkatan yang positif dan progresif secara holistik dan memperkasakan gagasan bersepadu tentera dan rakyat. - DagangNews.com