Audi Malaysia perkenal aplikasi mudah alih pertama kepada pemilik kenderaan | DagangNews Skip to main content

Audi Malaysia perkenal aplikasi mudah alih pertama kepada pemilik kenderaan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Sept - PHS Automotive Malaysia (PHSAM) memperkenalkan “myAudiWorld”, aplikasi mudah alih pertamanya untuk para pemilik kenderaan Audi di negara ini. 

 

Aplikasi myAudiWorld menawarkan rangkaian ciri menarik untuk menjadikan pengalaman pemilikan kini lebih mudah, menarik dan direka khas demi keperluan pemilik Audi. 

 

Ia juga menawarkan akses mudah terhadap pelbagai ciri daripada jadual temu janji servis, mendapat tawaran serta promosi terkini sehinggalah mencari lokasi Pusat Servis Audi terdekat. 

 

Pengarah Urusan PHSAM, Denyu Bostandzhiev berkata, pengenalan aplikasi tersebut bermakna para pengguna kini boleh mengawal pengalaman pemilikan dan pemanduan kereta Audi mereka dengan lebih baik. 

 

Katanya, myAudiWorld membuktikan komitmen Audi Malaysia untuk memberikan perkhidmatan pelanggan yang luar biasa, selain mengukuhkan dedikasi jenama terhadap aspek inovasi dan rumusan berorientasikan kepada pelanggan. 

 

"Dengan ini, para pelanggan mempunyai akses mudah ke atas pelbagai perkhidmatan dan ciri, ia penting bagi mengekalkan kenderaan Audi mereka sentiasa dalam keadaan terbaik. Pada masa sama menawarkan kemudahan yang tiada tandingan daripada peranti pintar mereka sendiri. 

 

“Selain untuk kenderaan yang lebih baharu, aplikasi myAudiWorld berusaha untuk menawarkan penjagaan luar biasa kepada kereta Audi yang berusia lima tahun dan ke atas, termasuklah model yang diimport secara parallel. 

 

 

audi

 

 

audi

 

 

"Dengan pakej-pakej penjagaan eksklusif seperti Audi Plus (yang hadir dengan bantuan tepi jalan) dan pakej Repair, kami ingin memberi ketenangan minda kepada para pelanggan yang dihargai. Sekali gus memastikan kereta mereka mendapat perhatian sepenuhnya dan sokongan yang diperlukan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Aplikasi myAudiWorld kini sudah boleh dimuat turun ke peranti Android, Huawei dan iOS. Maklumat lanjut, sila layari laman web Audi Malaysia www.audi.com.my. - DagangNews.com