Aurelius Hospital Alor Setar dijangka beroperasi pada 4QFY23 | DagangNews Skip to main content

Aurelius Hospital Alor Setar dijangka beroperasi pada 4QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Jun - Aurelius Healthcare Group bakal mengendalikan hospital swasta yang akan dikenali sebagai Aurelius Hospital Alor Setar selepas bakal menjadi pemegang saham terbesar Intan Medical Centre Sdn. Bhd.

 

Aurelis Hospital Alor Setar kini sedang dalam proses pembinaan dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 4QFY23 bagi memenuhi permintaan penduduk yang semakin meningkat di bandar itu. 

 

Hospital yang berkapasiti 200 katil yang terletak di Mergong itu akan menjadi fasiliti kesihatan terbesar di Kedah, pusat kesihatan enam tingkat itu akan dilengkapi dengan kemudahan teknologi terkini.  

 

Hospital itu akan menempatkan pelbagai kepakaran, seperti Penjagaan Onkologi, Neurosains, Kardiologi, Wanita & Kesejahteraan, dan Ortopedik. 

 

Rangkaian penuh perkhidmatan perubatan akan disediakan, termasuk pembedahan am, klinik pergigian dan pakar kulit, dewan bedah hibrid, MRI, Imbasan CT dan endoskopi. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Aurelius Hospital Alor Setar, TJ Randhawa berkata, pihaknya teruja untuk berkembang ke Alor Setar dan membuka kemudahan penjagaan kesihatan yang komprehensif yang menawarkan rangkaian lengkap prosedur diagnostik dan perubatan untuk pesakit kami.

 

"Kami percaya hospital ini akan menarik bakat terbaik negara dalam pelbagai bidang perubatan, seperti endokrinologi, nefrologi, urologi, gastroenterologi dan banyak lagi. 

 

"Kami sedang berusaha untuk menyediakan kemudahan untuk memberikan khidmat terbaik kepada penduduk Kedah, Pulau Pinang dan Perlis," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengerusi Aurelius Healthcare, Datuk Amir Firdaus Abdullah berkata, perkembangan ke Alor Setar adalah sebahagian daripada perancangan mereka untuk meluaskan perniagaan di seluruh Malaysia.

 

"Kerjasama kami yang pertama adalah di Nilai pada September 2021 dan Alor Setar membuktikan kami berada di landasan tepat untuk memberikan perkhidmatan terbaik untuk industri penjagaan kesihatan," katanya. - DagangNews.com