Aux Group jalin kerjasama dengan Aufit Malaysia bagi memasuki segmen peralatan elektrik tempatan | DagangNews Skip to main content

Aux Group jalin kerjasama dengan Aufit Malaysia bagi memasuki segmen peralatan elektrik tempatan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jan - Aux Group yang merupakan antara 500 syarikat terkemuka China menjalinkan kerjasama dengan Aufit Malaysia dengan mereka menyasarkan untuk bertapak dalam segmen peralatan elektrik tempatan.

 

Kumpulan itu ditubuhkan pada 1986 dan aktivitinya merangkumi beberapa industri meliputi peralatan rumah, perkakasan elektrik dan perkhidmatan perubatan, hartanah dan pelaburan.

 

Mereka memiliki lebih 30,000 pekerja dan mempunyai 11 kilang pembuatan di Ningbo, Nanchang, Tianjin, Ma Anshan, Zhengzhou di China serta di Brazil, Poland, Indonesia dan Thailand.

 

Penghawa dinginnya disenaraikan sebagai jenama ketiga paling popular di China dan merupakan pembekal eksklusif untuk Sukan Asia Hangzhou 2022.

 

Pengurus Jualan ASEAN Aux China, Rando Wu berkata, pihaknya yakin mencatatkan pertumbuhan dalam ekonomi tempatan walaupun berdepan situasi ekonomi kompleks.

 

"Ini memberikan peluang besar kepada kami dan kami mahu memasuki pasaran lebih awal.

 

"Kami akan memberi fokus dalam segmen penghawa dingin kerana kami telah menyaksikan peningkatan dalam piawaian perumahan mendorong permintaan yang besar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, kumpulan itu akan memberi keutamaan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk memenuhi keperluan dan perkembangan pasaran terkini.

 

"Ia termasuk mencipta teknologi yang menyumbang kepada kecekapan tenaga dan isu kemampanan serta teknologi yang membantu memerangi faktor kesihatan seperti radang paru-paru dan asma atau pencemaran virus.

 

"Kami berusaha untuk membawa kemajuan terkini dalam elektronik pengguna dan penghawa dingin ke Malaysia," katanya.

 

Pengarah Urusan Aufit Malaysia, Alan Yap berkata, kami telah melabur sejumlah RM10 juta dan menubuhkan lapan pusat di Puchong, Johor Bahru, Butterworth, Kuantan, Kota Bharu, Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching dan akan terus melengkapkannya.

 

"Kami mempunyai pasukan juruteknik berpengalaman yang disokong oleh pemasang pihak ketiga yang disahkan dan pakar penyelenggaraan," katanya. - DagangNews.com