Avaland catat untung bersih RM11.1 juta pada 2QFY23 dipacu sumbangan daripada 3 projek pembinaan | DagangNews Skip to main content

Avaland catat untung bersih RM11.1 juta pada 2QFY23 dipacu sumbangan daripada 3 projek pembinaan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Avaland Berhad telah mencatatkan keuntungan bersih RM11.1 juta dalam suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) berbanding kerugian bersih RM7 juta bagi tempoh sama tahun lalu, didorong sumbangan daripada tiga projek yang sedang berjalan.

 

Pendapatan kumpulan pada suku berakhir 30 Jun 2023 itu meningkat lebih dua kali ganda kepada RM113.8 juta daripada RM53.5 juta tahun lalu, pendapatan suku tahunan tertinggi sejak suku keempat tahun kewangan 2020 (4QFY23).

 

Avaland turut mencatat pendapat sesaham 0.76 sen berbanding kerugian sesaham 0.48 sen sebelumnya.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, kumpulan itu berkata prestasinya bagi suku dalam tinjauan semakin baik didorong oleh peningkatan sumbangan daripada projek yang sedang berjalan, iaitu Aetas Damansara, Alira Subang Jaya dan Casa Bayu Townhouse.

 

Secara kumulatif, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih RM11.25 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) daripada kerugian bersih RM19.2 juta, manakala pendapatannya melonjak dua kali ganda kepada RM190 juta berbanding RM92 juta.

 

Menurut Avaland, setakat 30 Jun 2023, jualan belum dibil kumpulan meningkat 18% kepada RM852 juta daripada RM720 juta yang dicatatkan pada 31 Disember 2022, memberikannya keterlihatan pendapatan pada tahun-tahun mendatang.

 

Mengulas tentang prospek, Ketua Pegawai Eksekutif Avaland, Teh Heng Chong berkata kumpulan itu memiliki projek bernilai RM1.2 bilion yang akan dilancarkan pada separuh kedua tahun ini.

 

 

Teh Heng Chong
Teh Heng Chong

 

 

“Bank tanah kumpulan kekal teguh dengan tanah seluas 79.3 hektar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM12 bilion, yang akan mengekalkan pendapatannya dalam tempoh 10 tahun akan datang.

 

“Melangkah ke hadapan, apabila kumpulan terus melakarkan rancangan pertumbuhannya, ia akan terus mengejar peluang perbankan tanah di lokasi strategik,” tambahnya.

 

Saham Avaland ditutup tinggi pada 23 sen, menokok 1 sen atau 4.6% dengan permodalan pasaran sebanyak RM335.1 juta. - DagangNews.com