Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 1 Sept. – Pembekal produk organik global dari Mexico, Avalon Fresh memilih Malaysia sebagai hab utama eksportnya di rantau Asia Tenggara.
Pengarah Operasi Antarabangsa Avalon Fresh, Patricia Vazquez Marin berkata, Malaysia merupakan lokasi strategik kerana kerajaan yang mesra pelaburan asing, stabil dan ekonomi yang membangun.
“Disebabkan faktor-faktor ini, kami memilih Malaysia untuk mengembangkan jenama selain di Amerika Syarikat (AS).
"100% produk organik Avalon Fresh dieksport berdasarkan permintaan rakyat di negara-negara Amerika,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Avalon Fresh mula diasaskan pada 2013 dan sejak itu menjadi pembekal utama produk segar, sihat dan organik di negara Amerika dengan kadar eksport berjumlah 4,276 pada tahun lalu.
Susulan penularan COVID-19, Avalon Fresh melancarkan operasi memproses tanaman baharu antaranya menghasilkan sayur-sayuran sejuk beku, kering dan diproses seperti nasi kubis bunga, mi zukini, kerepek sayur serta guacamole dan buah-buahan segera.
Dalam pada itu, memahami kepentingan amalan patuh syariah, Avalon Fresh ketika ini bekerja rapat dengan badan berkuatkuasa yang menentukan status halal syarikat di Sepanyol dan Mexico iaitu Instituto Halal Junta Islamica (Institut Badan Islam Halal).
Institut itu kini dalam perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mendapatkan sijil halal.
“Kami telah membina nama Avalon Fresh sebagai pembekal produk sayuran segar dan makanan yang bertanggungjawab, konvensional, organik dan halal di negara-negara Amerika.
“Setelah diiktiraf dengan Anugerah Nasional bagi Pengeksport Tahunan oleh Majlis Perniagaan Luar Negeri, Pelaburan dan Teknologi Mexico pada tahun lalu, kami tahu ini adalah masanya untuk meneroka lebih banyak peluang dalam pasaran ekonomi terbesar dunia iaitu Asia.
“Disebabkan itu, kami menubuhkan jenama di Malaysia melalui pejabat wilayah dan Jepun dengan kerjasama rakan kongsi lain,” tambah Vazquez. – DagangNews.com