Awantec catat kerugian bersih RM2 juta bagi 3QFY23 disebabkan hasil lebih rendah dalam segmen perisian dan perkhidmatan | DagangNews Skip to main content

Awantec catat kerugian bersih RM2 juta bagi 3QFY23 disebabkan hasil lebih rendah dalam segmen perisian dan perkhidmatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Mei - AwanBiru Technology Berhad (Awantec) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM2 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2023 (3QFY23) berbanding untung bersih sebanyak RM77,000 pada tahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan itu juga menyusut kepada RM8.5 juta berbanding RM13.3 juta pada 3QFY22 disebabkan hasil yang lebih rendah daripada segmen perisian dan perkhidmatan.

 

Walaupun hasil daripada segmen itu lebih rendah namun hasil daripada segmen bakat meningkat sebanyak 83% .

 

Kumpulan itu kekal komited untuk melabur dalam 3P iaitu insan, rakan kongsi dan produk & perkhidmatan untuk pertumbuhan dan kejayaan masa depan.

 

Pengerusi kumpulan, Datuk Syed Naqiz Shahabuddin berkata, walaupun segmen perisian & perkhidmatan mengalami penurunan dalam hasil, segmen bakat menunjukkan pertumbuhan yang konsisten.

 

"Kami kekal komited terhadap pelaburan kami dalam 3P dan yakin dengan keupayaan kami untuk meningkatkan prestasi semua segmen melalui kepelbagaian dan peningkatan permintaan untuk perkhidmatan kami," katanya.

 

Sebagai tambahan kumpulan itu baru-baru ini menjalin kerjasama strategik dengan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) yang menawarkan kandungan pembelajaran dalam talian Skillsoft yang memanfaatkan platform e-LATiH SuperApp HRD Corp.

 

Kerjasama ini akan membolehkan semua penyumbang kepada Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) menebus levi mereka dalam masa nyata.

 

Dengan pembelajaran dalam talian, majikan dapat mengurus, memantau dan menjejaki peningkatan kemahiran dan kemajuan kecekapan pekerja mereka, akhirnya meningkatkan produktiviti dan daya saing. - DagangNews.com