Awantech, HDC sedia platform pembelajaran, pemasaran dalam talian berkaitan halal | DagangNews Skip to main content

Awantech, HDC sedia platform pembelajaran, pemasaran dalam talian berkaitan halal

KUALA LUMPUR 2 Jun - Awanbiru Technology Bhd. (Awantec) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Halal Development Corp. Bhd. (HDC) bagi menyediakan platform pembelajaran dalam talian dan pemasaran bagi memperkukuh ekonomi berkaitan halal. 

 

MoU itu yang dimeterai dengan anak syarikat milik penuhnya, Awantec Systems Sdn. Bhd. itu adalah bagi tempoh selama 2 tahun mulai 2 Jun 2022 hingga 1 Jun 2024, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Skop kerjasama tersebut antara lain menyediakan platform pembelajaran dalam talian yang menawarkan kursus halal, platform penempatan pekerjaan bagi Bakat Halal dan pakej penyelesaian asas Google, eksklusif untuk ahli Platform Bersepadu Halal (HIP).

 

"Selain itu, ia juga melibatkan usaha pemasaran bersama untuk mempromosikan silang HIP dan penyelesaian Perusahaan Kecil Sederhana Google Cloud melalui semua saluran pemasaran ke pasaran tempatan dan global," katanya.

 

Awantec berkata, MoU itu bertujuan melaksanakan kemungkinan kerjasama antara kedua-dua pihak untuk mewujudkan repositori dan platform kemahiran halal dalam talian.

 

Ia akan merangkumi program latihan dalam talian dan fizikal untuk mempromosi dan memacu kesedaran dalam ekonomi halal ke pasaran global yang lebih luas, menyediakan pengiktirafan dan profesional di peringkat global, kursus dan program latihan dalam spektrum ekonomi halal.

 

"MoU ini akan memberi impak positif kepada perniagaan kumpulan dan demi kepentingan kumpulan Awantec," jelasnya. - DagangNews.com