Awas jerat penipuan pelaburan IPO, SC terima aduan kerugian lebih RM800,000 | DagangNews Skip to main content

Awas jerat penipuan pelaburan IPO, SC terima aduan kerugian lebih RM800,000

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 4 Julai - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerima pelbagai aduan dan pertanyaan berkaitan penipuan pelaburan saham pra Tawaran Awam Permulaan (IPO) yang sehingga kini melibatkan kerugian besar iaitu melebihi RM800,000.

 

Kata SC, penipuan ini kebanyakannya melibatkan tawaran penempatan persendirian, biasanya ditetapkan selari dengan masa penyenaraian IPO akan datang yang diterbitkan di laman web Bursa Malaysia.

 

Sehubungan itu, SC memberi amaran kepada orang ramai mengenai jerat penipuan pelaburan dengan saham pra IPO syarikat yang ingin disenaraikan di Bursa Malaysia.

 

 

"Pelaku penipuan ini yang menyamar sebagai 'ejen', kebiasaannya akan membuat group di WhatsApp untuk mempromosikan pelaburan pra-IPO ini. 

 

"Berikutan itu, bakal mangsa akan dimasukkan ke dalam group tersebut tanpa kebenaran. Skim ini mungkin disertakan dengan testimoni palsu daripada pelabur lain agar mereka kelihatan boleh dipercayai. 

 

"Pembayaran untuk 'langganan' perlu dibuat ke akaun bank entiti yang tidak berkaitan dengan IPO dan disyaki sebagai akaun bank keldai. Pada hari penyenaraian IPO, 'ejen' ini akan mengumumkan bahawa saham IPO telah disenaraikan dan telah mendapat keuntungan dan bahawa bayaran tambahan diperlukan untuk saham mereka diperuntukkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

ipo
Infografik SC

 

Menurut SC, ini sudah tentunya satu penipuan untuk menjerat mangsa agar memberi lebih banyak wang.

 

"Sehingga kini, SC telah menerima pelbagai aduan dan pertanyaan daripada pelabur yang melaporkan kerugian yang besar iaitu melebihi RM800,000.

 

"SC memandang serius perkara ini dan akan terus memantau dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap aktiviti penipuan pelaburan sedemikian," jelasnya.

 

Selain itu, SC menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dalam menilai tawaran pelaburan termasuk memastikan mereka tidak memindahkan atau mendepositkan wang ke dalam akaun yang mencurigakan.

 

"Orang ramai juga digalakkan untuk mengesahkan tawaran pelaburan melalui SC Investment Checker di www.sc.com.my/investment-checker ," ujarnya. - DagangNews.com