RHB Investment menilai saham Well Chip yang akan disenaraikan di Pasaran Utama pada RM2.11 | DagangNews Skip to main content

RHB Investment menilai saham Well Chip yang akan disenaraikan di Pasaran Utama pada RM2.11

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Julai - RHB Investment memberi harga wajar RM2.11 terhadap Well Chip Group Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 23 Julai 2024.

 

Saranan itu adalah berdasarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 25x daripada pendapatan sesahamnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

 

Firma penyelidikan itu meramalkan keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) teras kumpulan sebanyak RM44.8 juta keuntungan pendapatan teras tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 17% bagi FY23-FY26.

 

Katanya, pertumbuhan didorong oleh peningkatan kukuh dalam pengeluaran pinjaman gadai seiring dengan ketersediaan modal tunai yang lebih besar dan pengembangan rangkaian yang mantap.

 

"Well Chip memperuntukkan RM28 juta daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO) bagi menubuhkan lima kedai pajak gadai baharu di Johor.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Well Chip sasar kumpul RM172.5 juta daripada IPO Pasaran Utama Bursa Malaysia

 

"Selain itu, kumpulan itu juga sedang berusaha menubuhkan dua kedai pajak gadai pertamanya di Melaka, menandakan usaha sulungnya di luar negeri asalnya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pajak gadai melalui rangkaian 23 kedai pajak gadai yang terletak di Johor.

 

Kumpulan itu menganggarkan, ia menguasai 36% bahagian pasaran di negeri itu, menjadikannya pemegang pajak gadai terbesar di Johor.

 

"Well Chip mendapat manfaat daripada kepakaran dan pengalaman syarikat induk ValueMax Group yang mempunyai rekod prestasi 36 tahun dalam menyediakan perkhidmatan pajak gadai di Singapura.

 

"Kedua-dua pihak berkongsi Sistem Pajak Gadai ValueMax, yang membolehkan kecekapan operasi yang lebih baik, masa pemprosesan transaksi dan pengurusan risiko," katanya.- DagangNews.com