AWC terima subkontrak bernilai RM10.01 juta daripada CBTECH bagi kerja-kerja superstruktur berkaitan paip di Klang | DagangNews Skip to main content

AWC terima subkontrak bernilai RM10.01 juta daripada CBTECH bagi kerja-kerja superstruktur berkaitan paip di Klang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Ogos - AWC Berhad menerusi anak syarikatnya, Qudotech Sdn. Bhd. menerima sukontrak bernilai RM10.01 juta daripada CBTECH (M) Sdn. Bhd. bagi kerja-kerja superstruktur berkaitan sistem perpaipan di Klang, Selangor.

 

Kumpulan itu berkata, kerja-kerja itu adalah membekal, menghantar, memasang, menguji, mentauliah paip air sejuk dan sistem paip turun air hujan untuk kawasan bercampur berbilang blok di Lot 186033, Lorong Batu Nilam 21C/KS06, Bandar Bukit Tinggi 2. 

 

"Kerja-kerja itu bermula pada 1 Julai 2023 dan dijangka siap sepenuhnya pada 30 Jun 2026," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Subkontrak itu adalah perkara biasa di dalam perniagaan Qudotech.

 

Potensi risiko yang terlibat dalam kerja-kerja itu ini dianggap sebagai risiko operasi biasa dan adalah sama dengan mana-mana kerja lain yang seumpama itu.

 

Ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh kontrak itu.

 

Tiada pengarah, pemegang saham utama kumpulan dan/atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak itu.- DagangNews.com