KUALA LUMPUR 22 Feb - AXA Affin General Insurance Berhad (AXA) bekerjasama dengan syarikat teknologi unikorn pertama di Malaysia, Carsome untuk mencipta ekosistem automotif serba lengkap dan memberikan nilai tambahan ketenangan fikiran kepada pembeli kereta terpakai.
AXA menawarkan Guaranteed Asset Protection – Return to Insured Value (GAP-RTIV) di platform Carsome, yang mana pelanggan boleh dilindungi dengan insurans GAP-RTIV semasa membeli kereta yang diluluskan daripada Carsome.
GAP-RTIV telah dilancarkan oleh AXA pada April 2020 sebagai pelan pertama seumpamanya di pasaran yang melindungi nilai penuh kenderaan dalam kejadian yang tidak diduga.
Ia menyediakan bantuan kewangan dan perlindungan terhadap pembiayaan kereta pelanggan, serta perlindungan penuh sekiranya berlaku kerugian penuh akibat kerosakan, kebakaran atau kecurian.
Ketua Pegawai Eksekutif AXA, Emmanuel Nivet berkata, perkongsian strategik itu bukan sahaja membolehkan AXA mencipta pengalaman pelanggan yang berbeza dalam proses pembelian kereta terpakai, tetapi juga mengembangkan jejak digitalnya dan menutup jurang dalam pasaran automotif digital.
“Di AXA, kami amat mengutamakan kepentingan pelanggan. Ia penting bagi kami untuk mengetahui bahawa pelanggan boleh menikmati perlindungan lengkap yang ditingkatkan pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja dalam dunia yang semakin digital ini.
"Sinergi kami dengan Carsome menandakan detik mengujakan bagi kami, kerana ia melengkapi agenda digital kami untuk menyampaikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan dan meningkatkan akses terhadap produk kami.
"Kami percaya dengan nilai dan tujuan yang dikongsi ini, sinergi kami dengan Carsome akan memberikan pelanggan pengalaman yang mudah, segera dan disesuaikan melalui ekosistem dalam talian yang lebih cekap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng pula berkata, pihaknya sentiasa mencari cara untuk memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggannya.
"Kerjasama dengan AXA dan penyelesaian digital holistik ini menyokong usaha kami dalam mencipta pengalaman pemilikan kereta yang lancar dan membantu pelanggan ke hadapan dengan fikiran yang tenang apabila membeli kereta yang diluluskan oleh Carsome," katanya.
Sehingga kini, Carsome ialah platform e-dagang kereta bersepadu terbesar di Asia Tenggara, dengan kehadiran yang meluas di seluruh Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.
Ia bertujuan untuk menyediakan penyelesaian lengkap kepada pelanggan dan pengedar kereta terpakai, daripada pemeriksaan kereta hinggalah pemindahan pemilikan dan pembiayaan.
Semua kereta yang diluluskan oleh Carsome dipilih, diperiksa dan dibaik pulih dengan teliti, justeru menjanjikan pembeli kereta kualiti dan nilai yang terbaik.
Ia juga disertakan dengan Janji Carsome, termasuk pemeriksaan 175 mata, waranti 1 tahun, jaminan pemulangan wang dalam 5 hari dan harga tetap tanpa bayaran tersembunyi.
Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.carsome.my. - DagangNews.com