AXA diiktiraf sebagai Syarikat Insurans Am Antarabangsa Terbaik peringkat Asia kali ke-5 | DagangNews Skip to main content

AXA diiktiraf sebagai Syarikat Insurans Am Antarabangsa Terbaik peringkat Asia kali ke-5

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Ogos - AXA Affin General Insurance Berhad (AXA) terus berdiri teguh apabila diiktiraf sebagai Syarikat Insurans Am Antarabangsa Terbaik - Malaysia kali ke-5 berturut-turut di Anugerah Perbankan Kewangan dan Insurans Asia 2020.

Syarikat insurans itu turut menerima pengiktirafan Produk Insurans Baharu Terbaik - Malaysia di anugerah sama.

Ketua Pegawai Eksekutif AXA, Emmanuel Nivet berkata, kunci kejayaan AXA terletak pada fokus dalam pelaksanaan strategi 'Payer-to-Partner, dengan melangkaui hubungan transaksi.

“Kami berbesar hati untuk menerima pengiktirafan hebat ini bagi tahun ke-5 berturut-turut. Ini merupakan bukti prestasi dan komitmen kakitangan kami.

"Terima kasih kepada semua pelanggan, rakan syarikat, ejen dan kakitangan kami, semua ini tidak akan jadi kenyataan tanpa keyakinan dan kepercayaan mereka,“ kata Nivet dalam sebuah kenyataan hari ini.

AXA merupakan syarikat insurans pertama dan satu-satunya di Malaysia yang mencapai kejayaan berkenaan di Anugerah Perbankan Kewangan dan Insurans Asia 2020.

Penyampaian anugerah itu diadakan secara maya pada 5 Ogos 2020 oleh penerbitan terkemuka dalam industri perkhidmatan kewangan di Asia, Asian Banking and Finance Magazine.

Anugerah berprestij itu didedikasikan kepada institusi kewangan ternama di Asia. Penerima anugerah dipilih selepas proses pemilihan ketat oleh panel hakim yang terdiri daripada pakar industri.

Dalam pada itu, dengan menjadikan pelanggan sebagai titik utama strategi, AXA telah melalui transformasi dan mengkaji semula rangkaian nilainya menerusi beberapa pelaburan besar.

Ini termasuklah Big Data, Artificial Intelligence (AI) dan Proses Automasi Robotik (RPA) sebagai persediaan menghadapi dan meramal keperluan pelanggan secara progresif.

Selain itu, AXA turut memanfaatkan teknologi untuk mempermudah urusan pelanggan termasuk penggunaan portal penjualan dalam talian, AXA Travel and Motor Online.

AXA turut melaburkan RM8.3 juta bagi meningkatkan tenaga kerjanya menerusi inisiatif utama, program AXAPRENEUR yang dilancarkan untuk memesatkan kemampuan dan kemahiran pekerja sebagai persediaan untuk Industri 4.0. – DagangNews.com