AXA tawarkan pelan perlindungan perniagaan | DagangNews Skip to main content

AXA tawarkan pelan perlindungan perniagaan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Sejajar dengan komitmennya untuk memainkan peranan aktif dalam memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS), AXA  Affin General Insurance Berhad (AXA) berusaha untuk membantu perniagaan-perniagaan berdaya maju yang terjejas akibat pandemik COVID-19 menerusi pelan perlindungan perniagaan.

 

Demi meneruskan misinya untuk memberikan perlindungan dan sokongan kewangan kepada PKS secara berterusan, AXA telah melancarkan Business Advantage Plus (Enhanced), atau dikenali sebagai BAPE.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AXA, Emmanuel Nivet menyedari PKS berdepan cabaran lebih-lebih lagi pada waktu ini, mereka memerlukan sokongan untuk memacu perniagaan dan mengharungi persekitaran perniagaan yang telah berubah sepenuhnya disebabkan oleh pandemik COVID-19.

 

 Emmanuel Nivet
Emmanuel Nivet

 

“Kami percaya bahawa kami perlu melakukan sesuatu untuk membantu PKS bangkit daripada krisis yang tidak diduga ini,” katanya dalam sebuah kenyataan.

 

Menurut AXA, BAPE merupakan pelan perlindungan perniagaan pertama dalam pasaran yang menawarkan Elaun Kesulitan dengan dua manfaat pembayaran, selain daripada tuntutan kerosakan akibat kebakaran yang diinsuranskan untuk menyokong pemulihan perniagaan dengan cepat.

 

Insurans itu ditawarkan dalam empat pelan mudah yang boleh dipilih, serta memberikan manfaat eksklusif untuk makanan dan minuman, hotel bajet dan pusat pembelajaran, jelasnya.

 

"Pelan perlindungan perniagaan semua-dalam-satu kami yang kos efektif ini dapat disesuaikan berdasarkan keperluan dalam persekitaran perniagaan semasa.

 

“Perniagaan yang berada pada tahap berbeza dapat membeli pelan berdasarkan keperluan dan peruntukan mereka, dan yang penting dapat bertahan dalam sebarang keadaan yang tidak diingini,” tambah Nivet.

 

Sebagai bantuan tambahan kepada PKS, AXA turut memperkenalkan manfaat sanitasi khas sehingga RM2,000 sempena pelancaran BAPE, sekiranya terdapat pekerja perniagaan disahkan positif COVID-19.

 

Ujar AXA, manfaat percuma itu ditawarkan bergantung kepada dana yang dijanjikan iaitu RM100,000 yang masih tersedia atau hingga tempoh akhir kempen, yang mana lebih awal.

 

Di samping itu, PKS yang mendaftar untuk BAPE semasa tempoh kempen akan diberi alat pemadam api serbuk kering ABC seberat 1 kilogram secara percuma, selagi stok masih ada, kata AXA. – DagangNews.com