Axiata, Digi.com sumber 'kekuatan' KLCI | DagangNews Skip to main content

Axiata, Digi.com sumber 'kekuatan' KLCI

 

 

KUALA LUMPUR 9 April - Cadangan pembentukan syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia melibatkan penggabungan antara Axiata Group dan syarikat induk Digi, Telenor ASA menjadi pemangkin kepada pasaran tempatan sepanjang hari ini. 

 

Ia menyaksikan indeks utama FBM KLCI meraih 'kekuatan' apabila ditutup 9.85 mata atau 0.61% lebih tinggi kepada 1,612.25 setelah beberapa hari bergelut melepasi paras rintangan 1,600 mata. 

 

Menurut Reuters, pasaran saham Malaysia pada Jumaat dipacu oleh penggabungan mega antara dua syarikat telco gergasi itu yang akan dikenali sebagai Celcom Digi Bhd (Celcom Digi).

 

Malah, ia turut menyaksikan harga saham kedua-dua syarikat telekomunikasi gergasi ini melonjak lebih tinggi dan mendahului kaunter paling aktif dalam dagangan hari ini. 

 

Saham Axiata menokok sehingga 9.7% mencecah paras 13 bulan tertinggi, manakala Digi pula melonjak 17.3% kepada paras 9 bulan tertinggi.

 

Ketika ditutup petang ini, saham Axiata meningkat 8.16% kepada RM4.110 sesaham dengan pasaran modal bernilai RM34.86 bilion. 

 

Digi.com pula melonjak 18.93% kepada RM4.46 sesaham dengan pasaran modal syarikat bernilai RM29.16 bilion. 

 

Firma penyelidikan, CGS-CIMB menyifatkan Digi.com berada dalam kedudukan ‘menang besar’ jika usaha penggabungan itu berhasil. 

 


Baca : Digi 'menang besar' gabung dengan Celcom - Firma

 

Sementara itu, Reuters juga melaporkan mata wang ekonomi baharu muncul Asia pula melonjak apabila dolar AS berlegar pada paras dua minggu terendah manakala hasil perbendaharaan AS semakin lemah. 

 

Penurunan hasil AS mempengaruhi mata wang Asia yang sensitif kepada risiko. Dalam masa sama, kenaikan mingguan pengangguran di AS adalah di luar jangkaan, menandakan pemulihan tidak sekata dalam pasaran buruh. - DagangNews.com