Axiata lantik Shahril Ridza sebagai Ahli Lembaga Pengarah | DagangNews Skip to main content

Axiata lantik Shahril Ridza sebagai Ahli Lembaga Pengarah

Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan

 

 


KUALA LUMPUR 29 Nov - Bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Axiata Group Bhd. berkuat kuasa hari ini. 

 

Shahril Ridza, 51, juga berkhidmat sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Malaysia Airlines Bhd. dan Malaysia Aviation Group Bhd, yang mana beliau mempengerusikan Jawatankuasa Pencalonan dan Ganjaran Lembaga Pengarah.  

 

Sepanjang memegang jawatan pengarah urusan di Khazanah mulai 20 Ogos 2018 sehingga 19 Ogos 2021, beliau berjaya merombak strategi pelaburan dana kedaulatan negara selaras dengan mandat untuk memberi pulangan yang lebih tinggi dan mampan.

 

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama 5 tahun mulai 16 April 2013 hingga 18 Ogos 2018 selepas berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) selama lebih kurang 3 tahun.

 

Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi Axiata, Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid berkata, Lembaga Pengarah berbesar hati untuk mengalu-alukan penyertaan Shahril Ridza, yang sudah pasti bersesuaian sebagai ahli Lembaga Pengarah.

 

"Beliau bukan sahaja pemimpin korporat yang berjaya tetapi tidak asing lagi kepada operasi Axiata.

 

"Tambahan pula dengan pengalamannya menerajui organisasi negara, beliau memiliki pemahaman yang kukuh tentang perkara yang diperlukan untuk trajektori berterusan Axiata sambil kami bergerak ke arah normal baharu dan menambah nilai pertumbuhan baharu pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com