Axis REIT pilihan utama RHB Investment bagi sektor pelaburan hartanah | DagangNews Skip to main content

Axis REIT pilihan utama RHB Investment bagi sektor pelaburan hartanah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Feb - RHB Investment Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) yang menyaksikan saham Axis REIT sebagai pilihan utama. 

 

Firma itu berpendapat profil ganjaran risiko dalam sektor itu adalah seimbang seperti yang diwakili oleh peningkatan 7% dalam Indeks KL REIT dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

 

"Axis REIT jadi pilihan utama kami untuk sektor ini berikutan pelan pengambilalihan dan pembangunan semula REIT dijangka memacu pertumbuhan pendapatan dalam jangka sederhana hingga panjang.

 

"Dinamik bekalan-permintaan untuk sektor perindustrian kekal menggalakkan memandangkan permintaan yang semakin meningkat untuk aset logistik pihak ketiga," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Sementara itu, Pavilion REIT pula menjadi pilihan utama RHB Investment bagi segmen peruncitan buat masa ini.

 

Industri pelancongan yang bertambah baik, terutamanya didorong pembukaan semula China pada Januari lalu, berkemungkinan memberi rangsangan kepada pusat beli-belah yang lebih bergantung kepada pelancong di Kuala Lumpur seperti Pavilion Kuala Lumpur dan Suria KLCC, serta industri perhotelan.

 

Firma itu berpendapat, masih ada ruang bagi kadar penghunian campuran REIT meningkat, terutamanya untuk Da Men Mall, yang mencapai 65% pada suku keempat 2022. 

 

"Malah, perancangan pembelian Pavilion Bukit Jalil pada suku kedua 2023 juga positif untuk prospek jangka panjang REIT sebagai pusat beli-belah baharu yang akan menjadi satu lagi penyumbang pendapatan utama selain Pavilion Kuala Lumpur," tambahnya. 

 

Bagi Sentral REIT pula, katanya, risiko penurunan adalah terhad kerana pajakan untuk pembaharuan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) melibatkan asetnya yang lebih kukuh seperti Platinum Sentral dan Menara Shell, dengan pihak pengurusan menjangkakan pengembalian sewa tidak berubah.

 

"Segmen pejabat masih lagi bergelut disebabkan peningkatan ruang bekalan pejabat yang memberi tekanan ke bawah pada kadar penghunian dan sewa," jelasnya. - DagangNews.com