Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Dis - Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT) mengumumkan telah menyelesaikan latihan penempatan persendirian dan ltelah dilanggan dengan baik mengikut saiz tawaran.
Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Eksekutif Axis REIT Managers Berhad, Leong Kit May berkata, Axis-REIT telah mengeluarkan sejumlah 188.04 juta unit baharu, mewakili 13% daripada saiz dana sedia ada sebanyak 1,446.48 juta unit.
Katanya, penempatan persendirian itu telah ditetapkan pada harga terbitan RM1.78 seunit mewakili diskaun kira-kira 4.60% kepada harga purata wajaran volum lima hari sehingga 1 Disember 2021.
"Penempatan persendirian itu adalah selaras dengan strategi pengurusan modal berhemat kami, dengan menyediakan ruang yang mencukupi untuk pemerolehan masa depan dan membolehkan kami menjalankan lebih banyak projek pembangunan.
"Kami akan terus memperoleh hartanah akretif berkualiti tinggi dengan pendapatan sewa berulang yang kukuh, untuk mewujudkan pulangan yang stabil dan mampan untuk pemegang unit kami," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, memandangkan harga seunit RM1.78, yang ditentukan pada akhir proses pembinaan tempahan, Axis-REIT telah mengumpulkan sebanyak RM334.7 juta, yang akan digunakan untuk membayar balik pembiayaan banknya bagi tahun kewangan setakat ini, juga menurunkan nisbah pembiayaan semasa daripada 38% setelah penyiapan Xin Hwa Warehouse @ Pasir Gudang pengambilalihan pada Oktober 2021 kepada 28%.
"Sempena pelaksanaan penempatan itu, Axis-REIT pada 1 Disember 2021 mengisytiharkan pengagihan pendapatan interim keempat sebanyak 2.03 sen seunit untuk tempoh dari 1 Oktober 2021 hingga 15 Disember 2021.
"Pengagihan pendapatan interim keempat akan dibayar pada 14 Januari 2022," katanya.
Penempatan itu dikendalikan oleh Maybank Investment Bank dan CIMB Investment Bank, sebagai ejen penempatan bersama.
Axis Reit telah disenaraikan di Bursa Securities pada 3 Ogos 2005 dan telahh diklasifikasikan semula sebagai REIT Islam pada 11 Disember 2008 dengan semua pemerolehan oleh Axis-REIT adalah patuh Syariah. -DagangNews.com