Azdini Nor Azman diumum sebagai CEO/ Pengarah Eksekutif BIMB Investment berkuatkuasa 1 Ogos 2023 | DagangNews Skip to main content

Azdini Nor Azman diumum sebagai CEO/ Pengarah Eksekutif BIMB Investment berkuatkuasa 1 Ogos 2023

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Bank Islam Malaysia Berhad mengumumkan pelantikan Azdini Nor Azman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas anak syarikat milik penuhnya, BIMB Investment Management Berhad berkuat kuasa 1 Ogos 2023.

 

Azdini menyertai BIMB Investment sebagai Pemangku CEO di BIMB Investment pada 1 Mac 2023 dan dilantik ke jawatan CEO setelah menerima kelulusan rasmi daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

 

Azdini mempunyai pengalaman luas selama 26 tahun dalam industri yang merangkumi pelbagai organisasi termasuk Asian Islamic Investment Management Sdn Bhd, Bank Muamalat Malaysia Berhad, CFC Seymour Limited, Bank Islam Malaysia Berhad, MIDF Amanah Investment Bank Berhad and Amanah Short Deposits Berhad.

 

Sebelum menyertai BIMB Investment, beliau merupakan Ketua Perbankan Borong di Hong Leong Islamic Bank Berhad
(Hong Leong Islamic Bank) dan bertanggungjawab menguruskan segenap aspek perniagaan borong termasuk pasaran global Islam, perniagaan Islam dan perbankan korporat.

 

Semasa tempoh perkhidmatannya di Hong Leong Islamic Bank, beliau merupakan ahli pelbagai jawatankuasa dan kumpulan kerja termasuk Jawatankuasa Pelaburan bagi Hong Leong Asset Management Berhad, Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan ahli jawatankuasa kecil bagi inisiatif dan pembangunan industri Islam di Malaysia.

 

Beliau kini merupakan ahli Jawatankuasa Kecil Pasaran Kewangan Islam Bank Negara Malaysia (BNM) untuk tahun 2022 - 2023.

 

Azdini berkelulusan Sarjana Muda Perdagangan (Pengkhususan dalam Kewangan) dari Universiti Otago, New Zealand. Beliau juga merupakan seorang Profesional Kewangan Islam Bertauliah (CPIF) dari Institut Profesional Kewangan Islam Berkanun (CIIF) serta memegang lesen Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (PPKM) dan Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSRL).

 

Diiktiraf berdasarkan pencapaiannya, Azdini pernah dinobatkan dalam kedudukan 100 teratas oleh Laporan Wanita Paling Berpengaruh dalam Perniagaan dan Kewangan Islam WOMANi pada tahun 2020.

 

Pengiktirafan terbaharu beliau dalam kategori Significancica WOMANi menunjukkan sumbangan dan pencapaiannya dalam bidang perbankan dan kewangan Islam.

 

Laporan WOMANi menampilkan pemimpin wanita daripada segenap industri seperti perbankan, pengurusan aset, akademik dan sektor berkaitan lain yang telah menghasilkan impak kepada perniagaan Islam.


 

BIMB Investment, Sharifah Sarah Syed Mohamed Tahir
      Sharifah Sarah

 


Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan–Perbankan Institusi Bank Islam dan Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas BIMB Investment, Sharifah Sarah Syed Mohamed Tahir berkata, “Bagi pihak Kumpulan Bank Islam, saya ingin mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan kehadiran Azdini dalam kepimpinan BIMB Investment.”

 

“Rekod cemerlang yang dimiliki merupakan pengiktirafan ketokohan dan semangatnya memupuk inovasi dalam perbankan Islam. Kami yakin Azdini akan mengemudi BIMB Investment dalam mengharungi cabaran landskap sektor kewangan yang pesat berubah dan memanfaatkan peluang baharu selain membawa syarikat ini ke tahap lebih tinggi serta mewujudkan nilai jangka panjang kepada semua pemegang taruh,” ujarnya. - DagangNews.com