KUALA LUMPUR 8 Nov - Pengasas RichWorks International Sdn Bhd, Datuk Wira Dr Azizan Osman berkongsi lima faktor luaran yang tidak boleh dikawal, namun boleh memberikan impak kepada usahawan.
Azizan berkata, bangsa usahawan perlu sedar dengan lima faktor luaran yang sedang dan akan berlaku di masa akan datang, antaranya kadar faedah yang dijangka semakin meningkat.
"Seperti mana yang dijangka sebelum ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) telah menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75% pada Khamis lalu.
"Usahawan pasti terkesan dari segi pinjaman mereka, namun langkah BNM ini suatu tindakan penting untuk mengimbangi kadar inflasi dalam negara. Sehubungan itu, usahawan yang bersedia perlu melihat kembali kos terlibat dan melakukan perubahan yang diperlukan.
"Usahawan perlu mempunyai pengurusan kewangan, terutama aliran tunai yang baik bagi memastikan kelancaran operasi bisnes," katanya.
Beliau berkata, faktor kedua, bekalan rantaian bekalan tidak mencukupi melibatkan barang-barang import terutama dari China, yang mana mereka belum merancang membuka ekonomi sepenuhnya lagi.
"Dijangka ekonomi China akan dibuka selepas Februari 2023. Ketiga, kenaikan harga minyak dan sumber tenaga. Dijangka ia akan berterusan kerana berkaitan dengan peperangan dan secara tak langsung akan berikan impak kepada usahawan.
"Faktor keempat, isu hartanah. Harga rumah dijangka meningkat dan ada yang mungkin jatuh, di samping pinjaman perumahan juga dikhuatiri banyak tak dibayar. Kelima, peperangan. Bila berlakunya peperangan seperti di Ukraine, ia akan mengganggu eksport bahan mentah dari negara terlibat," katanya.
Dalam pada itu, Azizan berkata, kalendar 2022 bakal melabuhkan tirainya tidak sampai dua bulan lagi.
"Cabaran sentiasa ada dan tahun depan dijangka penuh cabaran hingga ada katakan krisis 2023 adalah yang paling teruk dalam tempoh 100 tahun. Sebab itu, saya dan RichWorks persiapkan bangsa usahawan dalam 10X Bina Bisnes Berjaya (10XBBB) baru-baru ini supaya mereka lebih bersedia.
"Program tiga hari itu sedikit sebanyak akan berikan usahawan-usahawan kesedaran, panduan dan strategi yang boleh digunakan untuk mereka lebih bersedia dan lakukan tindakan segera, Insya-Allah.
"Buat pengetahuan anda, ketika ini saya sedang menjalankan sesi 1 on 1 dengan usahawan Titanium di bawah bimbingan kami. Alhamdulillah, ramai usahawan ini tak fokus kepada masalah, sebaliknya fokus kepada penyelesaian," katanya.
Beliau turut berpesan kepada usahawan supaya jangan bebankan diri dengan masalah berlebihan.
"Usahawan kena fokus kepada apa yang nak dicapai dan belajar daripada kesilapan atau kegagalan orang lain. Masalah sesetengah usahawan pula, belajar kesilapan sendiri pun tak nak, apatah lagi belajar dengan orang lain.
"Mereka lebih rela buat kesilapan berulang kali, suka berikan alasan kenapa tak berjaya sedangkan boleh berjaya kalau buat keputusan betul, insya-Allah," katanya.
Tambahnya, beliau mendapati 80% usahawannya menyaksikan peningkatan momentum jualan hingga pecah rekod, manakala 20% lagi sedang melakukan perubahan bagi mempersiapkan bisnes masing-masing. - DagangNews.com