Azman Shah dilantik CFO Handal Energy | DagangNews Skip to main content

Azman Shah dilantik CFO Handal Energy

Azman Amiruddin Shah Mohamad Shah

 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 4 Jan - Handal Energy Bhd. melantik Azman Amiruddin Shah Mohamad Shah sebagai ketua pegawai kewangan syarikat itu, berkuat kuasa serta-merta.

 

Pengarah Urusan Kumpulannya, Sunildeep Dhaliwal berkata, Azman Shah mempunyai rekod prestasi luas dalam pengurusan kewangan dan memiliki kepakaran membina operasi serta memupuk perkongsian menyampaikan keputusan kewangan.

 

"Kami berbesar hati mempunyai beliau dalam pasukan dan mengharapkan bimbingan serta kepimpinan beliau dalam mengembangkan dan mengekalkan perniagaan," katanya dalam kenyataan.

 

Beliau berkata, Azman Shah membawa pengalaman lebih 17 tahun berkaitan kewangan.

 

"Beliau adalah pemimpin berpengalaman dengan rekod prestasi cemerlang dalam kedua-dua operasi kewangan dan pasaran modal. Saya berharap dapat bekerjasama dengannya," tambahnya.

 

Azman Shah sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Jualan Maybank (Malaysia) yang menyelia semua sektor jualan dan pelanggan, termasuk syarikat multinasional, kerajaan Malaysia, syarikat berkaitan kerajaan dan institusi kewangan lain.

 

Beliau juga berkhidmat sebagai bendahari kumpulan di IHH Healthcare Bhd. yang bertanggungjawab untuk fungsi perbendaharaan penyedia penjagaan kesihatan swasta merangkumi lebih 10 negara.

 

Azman Shah juga berkhidmat dengan Bank Negara Malaysia selama 11 tahun dalam pelbagai kapasiti sebelum beliau meninggalkan Bank Negara Malaysia sebagai ketua bahagian taktikal perdagangan pertukaran mata wang asing.

 

Azman Shah memiliki ijazah sarjana dalam pengurusan harta dari Universiti Pengurusan Singapura di bawah program biasiswa Pengawal Selia Wilayah Temasek Holdings dan Sarjana Muda Sains dalam Pentadbiran Perniagaan dari Sekolah Perniagaan Frank Barton, Wichita State University. - DagangNews.com