KUALA LUMPUR 25 April – Caely Holdings Bhd, pengeluar pakaian dalam wanita yang berdepan pembekuan akaun bank oleh SPRM, mengumumkan dua ahli lembaga pengarah melepaskan jawatan berkuatkuasa hari ini.
Mereka ialah Datuk Seri Mazlan Lazim yang merupakan Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif dan Azri Azerai, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kumpulan, meletak jawatan hari ini.
Dalam kenyataan medianya, Azri Azerai berkata, ‘’isu baru-baru ini yang timbul mungkin telah menjejaskan keupayaan saya untuk membantu Kumpulan dan saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan’’.
Menurutnya, beliau menyertai lembaga pengarah Caely dengan niat untuk membantu dalam pengembangan perniagaan sedia ada Kumpulan dengan memberikan perspektif dan membantu mencari peluang melalui rangkaian kerjanya.
‘’Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada lembaga pengarah dan mengucapkan selamat maju jaya kepada Kumpulan dalam usaha mereka pada masa hadapan,” ujar Azri.
Pada 18 April lalu, Caely memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa syarikat hanya mengetahui arahan pembekuan akaun itu menerusi notis daripada CIMB Bank pada 13 April 2022.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Caely Lim Chee Pang berkata, pihaknya sudah bertemu dengan pihak berkuasa dan akan mencari jalan terbaik bagi memastikan akaun bank mereka dilepaskan daripada pembekuan bagi memastikan operasi perniagaan dapat diteruskan.
ARTIKEL BERKAITAN: Caely dimaklumkan arahan pembekuan akaun daripada notis CIMB, bukan SPRM
Caely Holdings Bhd ialah satu daripada pengeluar dan pengeksport pakaian dalamwanita terbesar di Malaysia yang terletak di Teluk Intan, Perak.
Produk Caely diedarkan melalui saluran jualan langsung, runcit dan e-dagang serta terdiri daripada jenama sendiri dan OEM. - DagangNews.com