Badan peguam gesa PADU ditangguh sehingga PDPA 2010 dipinda | DagangNews Skip to main content

Badan peguam gesa PADU ditangguh sehingga PDPA 2010 dipinda

PADU dilancarkan Selasa lalu telah menerima kritikan beberapa pihak berhubung tahap keselamatan data yang dikumpulkan.
Oleh M. HERMAN HAMID

 

KUALA LUMPUR 4 Jan - Sebuah pertubuhan peguam hak asasi manusia menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan Pengkalan Data Utama (PADU) sehingga Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010 dipinda.

 

Menurut Lawyers for Liberty (LFL), pelancaran PADU sebelum PDPA dipinda telah mendedahkan orang ramai kepada pelbagai kemungkinan penyalahgunaan, penipuan dan kebocoran maklumat peribadi.

 

Dalam satu kenyataan, Pengarah LFL, Zaid Malek berkata, walaupun terdapat alasan munasabah dikemukakan mengapa inisiatif ini diperlukan tetapi terdapat kebimbangan yang sah dan serius mengenai keselamatan data yang dikumpul.

 

Katanya, ini berikutan Seksyen 3(1) PDPA mengecualikan kerajaan daripada akta tersebut yang bermakna data yang dikumpul menerusi PADU boleh disebarkan atau digunakan kerajaan di luar tujuan yang diisytiharkan sebagai tujuan pelaksanaan subsidi bersasar. 

 

"Justeru, kami menyeru kerajaan menangguhkan pelaksanaan PADU sehingga pindaan yang diperlukan dibuat kepada PDPA," tegasnya.

 

Jelas beliau, kerajaan mesti bertanggungjawab dari segi undang-undang sebelum boleh melancarkan sebarang platform pengumpulan data untuk memastikan data yang dikumpul dilindungi dan terjamin. 

 

Sebarang pengecualian daripada liabiliti, kata Zaid, adalah tidak boleh diterima dan menunjukkan kekurangan keyakinan oleh kerajaan terhadap platformnya sendiri dan keupayaannya untuk melindungi data awam daripada penyalahgunaan atau kecurian.

 

Malah, Zaid mendedahkan sudah terdapat kes penyalahgunaan data oleh kerajaan sebelum ini di mana data peribadi digunakan untuk menyebarkan propaganda melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada orang ramai. 

 

"Ini akan menjadi pengkhianatan besar-besaran terhadap kepercayaan sekiranya data yang dikumpul daripada orang ramai digunakan oleh kerajaan untuk sebarang tujuan politik," katanya.

 

Kata beliau, jaminan kerajaan secara lisan bahawa data yang dikumpul di bawah PADU tidak disalah guna atau akan dilindungi adalah tidak mencukupi.

 

Sebaliknya, Zaid menegaskan, terdapat keperluan untuk PDPA segera dipinda bagi meletakkan tanggungjawab kepada kerajaan serta agensi yang bertanggungjawab untuk perlindungan dan keselamatan data yang dikumpul. 

 

Kata Pengarah LFL itu, pindaan PDPA mesti dilakukan biar pun jika Rang Undang-Undang (RUU) Omnibus dibentangkan sekalipun - merujuk kepada jaminan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang kerajaan akan membentangkan RUU Omnibus bagi menangani perkara berbangkit berkaitan keselamatan data di bawah PADU.

 

"Menteri (Rafizi) bercakap tentang membawa masuk 'RUU Omnibus' untuk menangani perkara-perkara ini. Tetapi makluman mengenai RUU ini kurang dan pastinya adalah jelas bahawa RUU Omnibus sepatutnya dikuatkuasakan sebelum melaksanakan skim PADU," soalnya.

 

Zaid juga menekankan keperluan mengenai sebuah sistem untuk siasatan awam sekiranya berlaku sebarang pelanggaran data supaya pengguna yang terjejas boleh dimaklumkan tentang pelanggaran tersebut dan mengambil tindakan yang perlu terhadap pihak bertanggungjawab.- DagangNews.com