Bahagian keempat terbitan sukuk BIMB terima maklum balas positif | DagangNews Skip to main content

Bahagian keempat terbitan sukuk BIMB terima maklum balas positif

KUALA LUMPUR 15 Nov - Bahagian (tranche) keempat Sukuk Murabahah Subordinat (Sukuk) Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) bernilai RM300 juta yang diterbitkan pada 12 November 2021 menerima maklum balas positif dengan tempahan 2.32 kali lebih tinggi berbanding terbitan dengan harga muktamad sebanyak 4.10%.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Mohd Muazzam Mohamed berkata, hasil daripada terbitan ini akan memastikan BIMB mempunyai modal yang melebihi keperluan minimum kawal selia.

 

"Langkah ini seterusnya akan memperkukuhkan usaha kami dalam menyediakan nilai kepada pelanggan, seiring dengan era baru BIMB sebagai sebuah bank Islam tulen yang tersenarai di Bursa Malaysia.

 

"Kami amat menghargai kepercayaan dan keyakinan pelabur terhadap Kumpulan BIMB dalam merangsang pertumbuhan dan meneroka masa depan yang lebih baik buat industri perbankan Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Mohd Muazzam berkata, program sukuk murabahah subordinat itu diterbitkan  di bawah Program Sukuk Murabahah dan telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 6 September 2018.


 

Mohd Muazzam Mohamed
Mohd Muazzam Mohamed

 


Program ini telah menerbitkan bahagian pertama pada Nov 2018 yang melibatkan RM300 juta, bahagian kedua RM400 juta pada Mac 2020, dan diikuti oleh bahagian ketiga RM700 juta pada Oktober 2020.

 

BIMB juga merupakan Penasihat Utama, Penyusun Utama, Ketua Pengurus dan Penasihat Syariah bagi Program Sukuk Murabahah itu. - DagangNews.com