Bahan mentah makanan naik harga pada Februari | DagangNews Skip to main content

Bahan mentah makanan naik harga pada Februari

oleh HUDA HASSAN

KUALA LUMPUR 21 Mac - Semua bahan mentah makanan menyaksikan peningkatan harga pada Februari 2023 berbanding bulan sebelumnya dengan gula mentah mendahului kenaikan itu.

 

MIDF Research dalam satu kenyataan berkata, kenaikan gula mentah pada bulam lalu menyaksikan peningkatan sebanyak 9.8%, disebabkan oleh jangkaan bekalan gula global lebih rendah pada 2023.

 

Tambahnya, ia disusuli dengan kenaikan kecil harga gandum iaitu 1.5% yang sebahagiannya disebabkan oleh cuaca kering di beberapa tempat di Amerika Syarikat (AS) dan Argentina, menyebabkan output lebih rendah.

 

Harga minyak sawit mentah (MSM) pula, katanya, naik sedikit 0.9% pada bulan Februari disebabkan penurunan output di Malaysia dan larangan eksport berterusan di Indonesia.

 

Walau bagaimanapun, menurutnya, secara keseluruhan harga purata gandum dan MSM turun sejak 12 bulan lalu, memanfaatkan syarikat pengeluar makanan seperti Hup Seng Industries dan Nestle Malaysia.

 

"Impak harga gula mentah yang lebih tinggi dijangka mampu diuruskan oleh pengeluar makanan berikutan beberapa pelarasan harga dibuat pada tahun lalu dan ia berkemungkinan lebih daripada dapat menampung peningkatan kos," katanya dalam satu nota kajian.

 

Sementara itu, katanya, bagi ternakan, harga purata ayam pada Januari 2023 kekal tinggi pada RM10.30 sekilogram berbanding RM9.48 sekilogram pada bulan sama tahun lalu dan RM8.40 sekilogram pada Januari 2021.

 

Bagi telur ayam pula, tambahnya, harga telur Gred B mencatatkan kenaikan tahunan tertinggi iaitu 9.6% diikuti oleh telur Gred C (8.2%) dan telur Gred A (6.8%).

 

Menurut nota kajian itu, secara keseluruhan, harga ayam dan telur Gred A, B dan C kekal tinggi berbanding tahun sebelumnya dan ia disebabkan oleh kos input lebih tinggi berpunca daripada kenaikan harga makanan haiwan serta kos buruh.

 

“Kos makanan haiwan kekal tinggi pada 2023 disebabkan harga jagung dan kacang soya yang lebih tinggi,” katanya.

 

Sebagai perbandingan tahunan, katanya, kenaikan 2.5% harga jagung adalah disebabkan oleh penurunan output global termasuk pengeluaran lebih rendah dari AS, Kesatuan Eropah (EU) dan Argentina.

 

Tambahnya, harga kacang soya pula meningkat 25.1% berbanding setahun lalu disebabkan kebimbangan penurunan bekalan kacang soya global terutamanya kerana pengeluaran yang rugi dan hasil rendah bagi tanaman di Argentina.

 

"Secara keseluruhan, kami menjangkakan harga jagung dan kacang soya akan kekal tinggi dalam masa terdekat ini dan jika digabungkan bersama kenaikan kos buruh dan harga siling runcit berterusan bagi ayam dan telur, margin pengeluar ayam akan kekal sempit," katanya.

 

Sementara itu, MIDF kekal yakin dengan sektor pengguna disebabkan oleh kestabilan pasaran pekerjaan yang menyokong perbelanjaan domestik, ketibaan pelancong lebih tinggi yang menyokong jualan runcit dan perbelanjaan luar rumah, selain margin lebih baik bagi pengeluar makanan dan minuman (F&B) disokong oleh harga komoditi serta ringgit lebih kukuh. - DagangNews.com