Bahvest berhadapan tuntutan RM20 juta atas dakwaan ceroboh tanah perlombongan berkaitan dengan CEO syarikat | DagangNews Skip to main content

Bahvest berhadapan tuntutan RM20 juta atas dakwaan ceroboh tanah perlombongan berkaitan dengan CEO syarikat

KUALA LUMPUR 3 Mei - Bahvest Resources Bhd berhadapan dengan tuntutan RM20.4 juta di atas dakwaan menduduki secara salah dan menceroboh tanah pajakan perlombongan Southsea Gold Sdn Bhd.

 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bahvest, Datuk Lo Fui Ming yang memiliki 16.09% kepentingan dalam Bahvest dan juga memiliki Southsea Gold sebanyak 75%.

 

Anak syarikat Bahvest, Wullersdorf Resources Sdn Bhd telah menjalankan operasi melombong emas di sebidang tanah di Tawau, Sabah sejak 2017, yang merupakan tanah subpajakan dalam tanah pajakan perlombongan yang lebih besar milik Southsea Gold.

 

Dalam surat tuntutan tersebut dinyatakan bahawa SouthSea Gold hanya bertanggungjawab untuk menyediakan hak laluan dan kemudahan bagi membenarkan Wullersdorf melalui tanah pajakan perlombongan Southsea Gold untuk mengakses tanah subpajakan Wullersdorf.

 

 

Datuk Lo Fui Ming
Datuk Lo Fui Ming

 

 

Di samping itu, Southsea Gold telah menuntut Wullersdorf mengalihkan semua strukturnya iaitu loji penghancur, kilang, kem pekerja dan semua struktur lain yang telah menduduki tanah pajakan perlombongan secara salah, kata Bahvest dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Menurut Bahvest, tuntutan ini mempunyai kesan material terhadap perniagaan, keadaan kewangan dan/atau prospek syarikat.

 

“Lembaga Pengarah telah memutuskan dan memberi mandat pada mesyuarat lembaga tergempar, hari ini (3 Mei) bahawa Ketua Pegawai Operasi (COO) dan Ketua Pegawai Pembiayaan (CFO) ditugaskan untuk berunding dan menyelesaikan permintaan ini demi kepentingan syarikat,” tambahnya.

 

Dalam makluman berasingan di Bursa Malaysia, Bahvest berkata Lembaga Pengarah telah berbincang bahawa syarikat itu cenderung memberikan rekod pendeposit (ROD), yang diperlukan agar pengajur dapat mengeluarkan notis mesyuarat agung luar biasa, kepada lima pemegang saham yang ingin mengadakan mesyuarat tersebut untuk menyingkir Fui Ming dan dua lagi pengarah syarikat iaitu anak kepada Fui Ming,Pengarah Eksekutif, Lo Teck Yong serta Pengerusi Bukan Eksekutif, Datuk Seri Dr Md Kamal Bilal.

 

Lima pemegang saham, iaitu Marlex Trading Ltd, Innosabah Capital Holdings Sdn Bhd, Datuk Lim Nyuk Sang @ Freddy Lim, Yong Fen Yoo dan Chong Tzu Khen, telah merancang untuk mengadakan EGM pada 25 Mei di Kuala Lumpur.

 

Pada masa yang sama, Bahvest mengiktiraf hak pengarah yang menghadapi penyingkiran untuk menyatakan sebab mereka tidak sepatutnya dilucutkan jawatan menurut Seksyen 207 Akta Syarikat 2016.

 

Setakat pukul 3:35 petang hari ini, saham Bahvest telah menjunam 12.5 sen atau 34.7% kepada 23.5 sen sejak berita pergelutan pemegang saham, memberikannya permodalan pasaran RM291.3 juta. -DagangNews.com