Bain & Company yakin kemajuan sektor perbankan digital akan tarik lebih ramai pelabur | DagangNews Skip to main content

Bain & Company yakin kemajuan sektor perbankan digital akan tarik lebih ramai pelabur

KUALA LUMPUR 10 Mei - Kemajuan sektor perbankan digital Malaysia dijangka menarik lebih banyak pelabur asing ke negara ini pada masa akan datang.

 

Rakan kongsi dan ketua Amalan Ekuiti Swasta Bain & Company di Asia Tenggara, Usman Akhtar berkata, perbankan digital dijangka dapat menarik pelabur, sama seperti pasaran global lain. 

 

"Perbankan digital telah menarik minat pelaburan di pelbagai pasaran dan kami jamin bahawa terdapat ramai pelabur yang teruja dengan perkhidmatan kewangan digital.

 

"Perbankan digital akan menjadi ciri-ciri yang boleh dilabur pada masa depan dan kita perlu memberi perhatian utama kepadanya,” katanya pada sesi soal jawab semasa taklimat media mengenai Laporan Ekuiti Swasta Asia Tenggara Bain and Company 2022, hari ini, lapor Bernama.

 

Di Asia Tenggara, ekonomi digital terus berkembang pesat apabila pelaburan tertumpu kepada  teknologi terus dominan di Indonesia (60% daripada janji niaga), Singapura (50%) dan Vietnam (55%).

 

Sektor-sektor lain seperti perkhidmatan penjagaan kesihatan dan kewangan mula mengambil bahagian yang ketara sebagai sasaran pelaburan, masing-masing mewakili 18% dan 9% daripada janji niaga.

 

Mengulas mengenai trend ekuiti swasta di Malaysia, penasihat kanan perniagaan Ekuiti Swasta Global Bain, Suvir Varma berkata berbanding Singapura, Vietnam dan Indonesia, aktiviti ekuiti swasta di Malaysia kurang aktif walaupun ia terus menarik pelaburan asing. 

 

"Kami terus melihat urus niaga sekali sekala dalam produk pengguna, logistik kejuruteraan kejituan dan pusat logistik yang mempermudahkan e-dagang, tetapi pelabur melihat peluang pelaburan beroreintasikan pertumbuhan yang menarik di pasaran Asia Tenggara,” katanya.


 
Menurut Laporan Ekuiti Swasta Asia Tenggara tahunan 2022  Bain & Company yang dikeluarkan hari ini, nilai janji niaga pelaburan ekuiti swasta Asia Tenggara berjumlah  AS$25 bilion (RM109.56 bilion) pada  2021 berbanding purata lima tahun dengan Singapura meningkat 108%, diikuti Indonesia (melonjak  310%), Vietnam (naik 91%) manakala Malaysia (menguncup 7%).

 

Mengenai prestasi keseluruhan, pasaran Ekuiti Swasta Asia Tenggara mencatatkan antara pemulihan paling memberangsangkan dalam sejarahnya, dengan nilai janji niaga mencecah paras paling tinggi yang pernah dicatatkan sebanyak US$25 bilion (RM109.56 bilion).

 

Tahun sebelumnya mencatatkan penurunan ketara dengan pasaran merekodkan penurunan terbesar di seluruh pasaran Asia Pasifik disebabkan sekatan perjalanan yang menjejaskan proses kajian daya maju dan urusan janji niaga tetapi dengan pembukaan secara berperingkat di negara-negara pada separuh kedua 2021 telah membantu memacu lantunan semula dalam nilai janji niaga. 

 

Usman berkata Asia Tenggara pulih semula dengan kukuh daripada tahun terkesan akibat COVID-19 pada 2020 dengan paras aktiviti pada 2021 menunjukkan bahawa pelabur berminat untuk menebus masa yang hilang.

 

Asia Pasifik kini membentuk satu perempat daripada pasaran ekuiti swasta global dan pada 2021, keyakinan tinggi pelabur terhadap Asia Tenggara membawa kepada pertumbuhan terbesar dalam kuantiti janji niaga di mana-mana negara di Asia Pasifik.  - DagangNews.com