Bajet 2022 : B40 layak terima baucar RM75 di bawah program Tenang | DagangNews Skip to main content

Bajet 2022 : B40 layak terima baucar RM75 di bawah program Tenang

 

 


KUALA LUMPUR 29 Okt. - Kerajaan terus komited untuk meneruskan pelbagai dasar dan program perlindungan bagi manfaat Keluarga Malaysia yang memerlukan di bawah Bajet 2022.

 

Sehubungan itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, di bawah Program Baucar Perlindungan Tenang, penerima bantuan B40 layak menerima baucar RM50 sebagai bantuan kewangan untuk membeli produk Perlindungan Tenang termasuk takaful hayat dan kemalangan diri. 

 

Katanya, untuk tahun hadapan, inisiatif ini akan diteruskan dengan nilai baucar ditingkatkan kepada RM75.

 

"Sebagai tambahan, baucar ini juga boleh digunakan untuk membeli polisi insurans komprehensif bagi motosikal 150cc ke bawah mulai 1 Januari 2022. 

 

"Diharapkan dengan peluasan skop perlindungan ini, kumpulan B40 terutamanya yang menunggang motosikal untuk mencari rezeki akan memperoleh manfaat daripadanya," katanya dalam pembentangan Bajet 2022 petang ini. 

 

Menurut beliau, kerajaan juga bercadang untuk memberikan pengecualian duti setem kepada produk Perlindungan Tenang serta produk insurans atau takaful dengan nilai premium atau sumbangan tidak melebihi RM150 bagi individu dan RM250 bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 

Sementara itu, katanya, setakat 30 September 2021, mySalam sebagai skim insurans perubatan khas untuk B40 telah membayar tuntutan berkaitan hospitalisasi dan penyakit kritikal sebanyak lebih RM180 juta kepada 125,000 pesakit. 

 

Di samping itu, sebanyak 229,000 individu juga telah menerima pampasan disebabkan COVID-19 dengan 
nilai keseluruhan RM115 juta. 

 

"Pada tahun ini, skop mySalam telah diperluas meliputi tuntutan kos peranti perubatan seperti stent untuk jantung. 

 

"Bagi tahun hadapan, skim MySalam akan diperluas kepada penerima BKM dan manfaat tuntutan kos peranti perubatan juga akan dipanjangkan kepada anak tanggungan penerima mySalam yang layak," katanya. - DagangNews.com