Bajet 2022 beri keutamaan kepada rakyat yang terjejas akibat COVID-19-PM | DagangNews Skip to main content

Bajet 2022 beri keutamaan kepada rakyat yang terjejas akibat COVID-19-PM

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Nov - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan bahawa Bajet 2022 yang dibentangkan memberi keutamaan kepada rakyat yang teruk terjejas akibat COVID-19.

 

Beliau berkata, keputusan kerajaan membentangkan bajet berjumlah RM332.1 bilion itu dilakukan selepas mengambil kira semua keadaan termasuk kedudukan kewangan negara.

 

"Saya telah beritahu sewaktu pra-bajet bahawa bajet ini mengambil kira semua dan kebajikan rakyat adalah amat penting, rakyat telah susah selama setahun dua ini akibat pandemik, ada yang kehabisan wang simpanan.

 

"Oleh itu, kita beri bantuan tunai kepada rakyat untuk bantu mereka teruskan kehidupan, bantuan turut diberi kepada syarikat-syarikat mikro yang terjejas teruk kerana tidak boleh menjalankan perniagaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Bukit Jalil, di sini hari ini, lapor Bernama.

 

Ismail Sabri mengakui bahawa Bajet 2022 yang dibentangkan pada Jumaat lepas menelan belanja yang besar tetapi ia perlu dilakukan bagi menjaga kebajikan rakyat dan beliau yakin Kementerian Kewangan akan menguruskannya dengan baik.

 

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat bahawa Bajet 2022 terlalu besar dan memberi kesan buruk terhadap kewangan negara.

 

Sementara itu, Perdana Menteri turut menafikan Bajet 2022 bersifat perkauman seperti didakwa oleh Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin.

 

Ismail Sabri berkata, dalam bajet yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz terdapat peruntukan yang disalurkan kepada kaum Cina, India, Orang Asli, Sabah dan Sarawak.

 

"Saya rasa dia tidak faham mungkin dia tidak baca bajet berkenaan, apa-apa pun menteri kewangan akan jawab dengan lebih lanjut di Dewan Rakyat nanti," katanya.-DagangNews.com