Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Okt. - Kerajaan memperkenalkan Bantuan Keluarga Malaysia, inisiatif bantuan tunai yang ditambah baik sebanyak RM2,000 kepada isi rumah yang mempunyai tiga orang anak atau lebih dengan pendapatan kurang RM2,500 sebulan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembaharuan tersebut telah mengambil kira cadangan yang diterima daripada orang ramai melalui penerbitan Kertas Konsultasi Awam berhubung penambahbaikan bantuan rakyat.
"Pemberian bantuan ini merupakan peningkatan berbanding RM1,800 iaitu kadar tertinggi di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sebelum ini," katanya pada sesi pembentangan Bajet 2022 di Parlimen hari ini.
Tambahnya, sebagai pembaharuan untuk tahun hadapan, kerajaan juga akan memberi bantuan tambahan sebanyak RM500 ringgit kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dan berpendapatan sehingga RM5,000 sebulan.
"Selain itu, bantuan tambahan sebanyak RM300 turut diberikan kepada isi rumah warga emas.
"Ini bermakna, kepada ibu atau bapa tunggal dengan tiga anak atau lebih, layak mendapat BKM maksimum sebanyak 2,500 ringgit," katanya.
Secara keseluruhan beliau berkata, BKM akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion, peningkatan berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan RM7 bilion di bawah BPR. -DagangNews.Com