KUALA LUMPUR 29 Okt. - Kerajaan bercadang untuk meningkatkan kadar pencen minimum di bawah Skim Keilatan daripada RM475 kepada RM550 yang akan membantu 56,000 isi rumah.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif ini diikuti dengan penyelarasan faedah-faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada kos sara hidup yang dijangka memanfaatkan lebih 400,000 penerima faedah sedia ada.
"Dengan peningkatan ini, kerajaan juga bercadang meningkatkan siling gaji yang diinsuranskan daripada RM4,000 kepada RM5,000 untuk menambah baik liputan keselamatan sosial bagi 9 juta pekerja
yang dilindungi oleh Perkeso.
"Secara keseluruhan, inisiatif ini akan melibatkan penambahan faedah Perkeso yang berjumlah RM267 juta," katanya dalam pembentangan Bajet 2022 petang ini.
Menurutnya, untuk terus menggalakkan pekerja swasta mencarum dengan Perkeso dan melindungi mereka yang kehilangan pekerjaan, had pelepasan cukai dinaikkan daripada RM250 kepada RM350 dan skop pelepasan bagi caruman Perkeso turut diperluas meliputi caruman pekerja melalui Sistem Insurans Pekerjaan.
Dalam pada itu, katanya, bagi membantu individu yang aktif mencari pekerjaan, kerajaan akan meneruskan pemberian Elaun Mencari Pekerjaan kepada pencarum dan bukan pencarum Perkeso.
Tengku Zafrul berkata, bagi memberi perlindungan sosial kepada suri rumah dan balu melalui caruman ke Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso, kerajaan menyediakan RM80 juta di bawah Program Kasih Suri Keluarga Malaysia khusus untuk manfaat mereka hingga umur 55 tahun.
Pada tahun ini, kerajaan telah meluaskan liputan perlindungan sosial negara di bawah Perkeso untuk turut mencarum bagi pekerja sendiri dan sektor informal.
"Bagi tahun hadapan, inisiatif ini diteruskan dengan nilai caruman 80% dan meluaskan manfaatnya kepada 9 kategori pekerja sendiri baharu antaranya petani, nelayan, penjaja, artis, ejen pelancongan dan petugas Pemulihan Dalam Komuniti. Inisiatif ini dijangka memanfaatkan lebih 810,000 pekerja sendiri," katanya.
Inisiatif i-Saraan dilaksanakan bagi menggalakkan pekerja sektor informal menabung untuk hari persaraan melalui caruman KWSP.
Melalui inisiatif ini, kerajaan mencarum sebanyak 15% daripada caruman sukarela yang dibuat oleh pekerja sektor informal, terhad kepada maksimum RM250 setahun.
"Untuk 2022, Kerajaan akan meluaskan penerima manfaat inisiatif ini yang turut merangkumi mereka yang berumur antara 55 sehingga 60 tahun.
"Sejumlah RM30 juta disediakan untuk memanfaatkan lebih 100,000 peserta sedia ada dan baharu," katanya.
Beliau juga berkata, kerajaan bercadang untuk meluaskan pelepasan cukai sehingga RM4,000 kepada pencarum KWSP meliputi caruman secara sukarela seperti mereka yang bekerja sendiri dalam sektor gig. - DagangNews.com