Bajet 2022: Kerajaan sambung kontrak 10,000 pegawai perubatan | DagangNews Skip to main content

Bajet 2022: Kerajaan sambung kontrak 10,000 pegawai perubatan

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

 

KUALA LUMPUR Okt. - Kerajaan bersetuju untuk menyambung pelantikan secara kontrak lebih 10,000 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi selepas tempoh khidmat wajib selama 2 tahun kepada maksimum 4 tahun bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz berkata, ia adalah sebagai persediaan pengajian kepakaran mereka. 

 

"Sebagai tambahan, sukacita diumumkan kerajaan bersetuju meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan RM100 juta untuk manfaat 3,000 pegawai kontrak perubatan dan pergigian," katanya dalam pembentangan petang ini.

 

Bagi memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan awam, kerajaan juga akan bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah dan St. John Ambulance untuk meningkatkan akses dan capaian respons perkhidmatan ambulans.

 

Tengku Zafrul berkata, memperuntukkan RM70 juta bagi memastikan isu kesihatan mental ]diberi keutamaan, antaranya untuk memperkukuh perkhidmatan sokongan, kaunseling dan psikososial, menambah program advokasi serta memperkasa peranan NGO sebagai penggerak program kesihatan mental. 

 

"Krisis pandemik ini telah menerukkan masalah kesempitan hidup,keganasan rumah tangga dan kemurungan sehingga menjadi punca kepada isu keishatan mental.

 

"Kerajaan juga bercadang untuk meluaskan skop pelepasan cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan pemeriksaan kesihatan meliputi kos khidmat konsultasi pakar psikiatri, ahli psikologi klinikal dan kaunselor yang berdaftar," katanya.

 

Katanya lagi, dalam usaha untuk mengekang penularan COVID-19, kerajaan bercadang untuk melaksanakan perolehan ubat antiviral yang didapati berkesan terhadap pelbagai virus.

 

Beliau memberitahu, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan terus diperkasa bagi membekalkan dos ketiga sebagai vaksin penggalak kepada  semua orang dewasa di samping meneruskan vaksinasi kepada anak-anak berusia 12 hingga 17 tahun. 

 

"Kerajaan telah menandatangani perjanjian untuk mendapatkan 88 juta dos iaitu bersamaan lebih 140 peratus penduduk dan cukup untuk memberi dos ketiga kepada semua penduduk berusia 12 tahun dan ke atas.

 

"Bagi tahun hadapan, kerajaan bercadang untuk memberikan pelepasan cukai individu dan potongan cukai kepada majikan ke atas kos berkaitan pengambilan vaksin penggalak yang dibiayai sendiri," katanya.-DagangNews.com